MN Holdings catat untung bersih RM21.33 juta 3QFY26, disokong projek pencawang elektrik

LocalBusiness & Finance
29 May 2026 • 6:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MN Holdings catat untung bersih RM21.33 juta 3QFY26, disokong projek pencawang elektrik Image from: MN Holdings catat untung bersih RM21.33 juta 3QFY26, disokong projek pencawang elektrik hamden29/05/2026 - 18:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Mei - MN Holdings Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) lebih tinggi sebanyak 28% kepada RM21.33 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM16.69 juta yang direkodkan setahun lalu.

 

Prestasi lebih kukuh itu dipacu pertumbuhan ketara segmen kejuruteraan pencawang elektrik yang terus menjadi penyumbang utama pendapatan kumpulan.

 

Hasil suku tahunan syarikat meningkat 57% tahun ke tahun kepada RM200.07 juta daripada RM127.42 juta sebelumnya.

 

Segmen kejuruteraan pencawang menyumbang RM176.91 juta atau 88% daripada jumlah hasil suku tersebut, meningkat 82% berbanding RM97.09 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Sementara itu, segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah menyumbang RM23.17 juta kepada pendapatan kumpulan.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 41% kepada RM31.94 juta berbanding RM22.62 juta sebelumnya meskipun kumpulan merekodkan kerugian rosot nilai bersih ke atas aset kewangan dan aset kontrak sebanyak RM5.24 juta.

 

Selepas mengambil kira pelarasan item tersebut, PBT dinormalisasi kumpulan melonjak 74% kepada RM37.18 juta.

 

Menurut MN Holdings, prestasi memberangsangkan itu disokong pelaksanaan projek utama yang dipercepatkan, peningkatan kecekapan operasi serta pengukuhan keupayaan kejuruteraan kumpulan.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026, kumpulan merekodkan hasil terkumpul RM657.72 juta, meningkat 85% daripada RM356.01 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

PAT terkumpul pula melonjak 87% kepada RM68.10 juta berbanding RM36.42 juta sebelumnya, manakala PBT meningkat 92% kepada RM95.52 juta.

 

Segmen kejuruteraan pencawang kekal menjadi pemacu utama apabila menyumbang RM586.24 juta atau 89% daripada jumlah hasil terkumpul kumpulan.

 

Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh berkata, prestasi suku ketiga mencerminkan kekuatan operasi syarikat dalam melaksanakan projek-projek pencawang utama.

 

“Kami kekal optimis terhadap prospek permintaan infrastruktur tenaga yang dipacu pelaburan berterusan dalam pusat data, peluasan grid, elektrifikasi dan inisiatif peralihan tenaga.

 

“Disokong buku pesanan kira-kira RM1.75 bilion, kami akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara cekap sambil meneroka peluang baharu yang selari dengan kepakaran teknikal dan sasaran pertumbuhan jangka panjang kumpulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Setakat 31 Mac 2026, kedudukan kewangan kumpulan kekal kukuh dengan jumlah ekuiti meningkat kepada RM357.85 juta manakala tunai serta setara tunai berjumlah RM280.34 juta.

 

Kedudukan tunai yang sihat itu dijangka memberi fleksibiliti kepada kumpulan untuk membiayai peluang pertumbuhan baharu serta mengekalkan disiplin pelaksanaan projek pada masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini standard