hamden29/05/2026 - 18:05 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Mei - Land & General Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak 38.7% kepada RM50.5 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026) berbanding RM36.4 juta tahun sebelumnya.
Prestasi lebih kukuh itu dipacu pertumbuhan memberangsangkan segmen hartanah dan pendidikan kumpulan.
Hasil kumpulan turut melonjak 70.6% kepada RM490.5 juta daripada RM287.6 juta yang direkodkan pada FY2025, disumbangkan terutamanya oleh divisyen hartanah.
Divisyen hartanah kekal sebagai penyumbang utama pendapatan apabila hasil meningkat 81.7% kepada RM436.9 juta berbanding RM240.5 juta sebelumnya.
Keuntungan operasi segmen itu turut bertambah 24.1% kepada RM77.1 juta daripada RM62.2 juta disokong pengiktirafan hasil progresif dan jualan kukuh daripada projek Damansara Livista, Residensi Kamelia dan The Wyn Residences.
Dalam masa sama, divisyen pendidikan mencatatkan pertumbuhan stabil apabila hasil meningkat kepada RM46.8 juta berbanding RM40.5 juta tahun lalu susulan peningkatan pengambilan pelajar dan semakan yuran.
Keuntungan operasi segmen pendidikan juga mengukuh 23.2% kepada RM19.7 juta daripada RM16 juta sebelum ini.
Bagi suku keempat FY2026, kumpulan merekodkan hasil RM142.2 juta berbanding RM143.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, PATMI susut kepada RM13.2 juta berbanding RM26.4 juta sebelumnya berikutan keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan tanah di Senawang, Negeri Sembilan yang diiktiraf pada suku sama FY2025.
Pengarah Urusan L&G, Low Gay Teck berkata, prestasi FY2026 mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pemaju hartanah yang diyakini pasaran.
“Kami terus mencatat kadar pengambilan sihat yang mencerminkan keupayaan memenuhi keperluan pembeli rumah yang semakin berkembang.
“Bagi FY2027, kami akan terus memperkukuh penawaran kediaman dan memacu penciptaan nilai jangka panjang menerusi pelancaran projek baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kumpulan turut optimis terhadap perkembangan inisiatif taman perindustrian pada separuh kedua FY2027 susulan kemajuan usaha penukaran syarat tanah dan libat urus strategik.
DIVIDEN
Sebagai ganjaran kepada pemegang saham, L&G mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 0.8 sen sesaham bagi FY2026 tertakluk kepada kelulusan pada mesyuarat agung tahunan akan datang.
Digabungkan dengan dividen interim pertama 0.2 sen sesaham yang dibayar pada 7 Mei lalu, jumlah dividen FY2026 meningkat kepada 1.0 sen sesaham membabitkan pembayaran keseluruhan RM29.7 juta atau 58.9% daripada PATMI.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding dividen keseluruhan 0.8 sen sesaham bernilai RM23.8 juta yang dibayar pada FY2025.
Bagi FY2027, kumpulan merancang melancarkan beberapa pembangunan baharu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM1.5 bilion tertakluk kepada keadaan pasaran dan momentum jualan.
L&G turut mengadakan pratonton projek Damansara Laverra pada suku pertama FY2027, iaitu pembangunan kediaman pegangan bebas dengan GDV RM752 juta di Bandar Sri Damansara yang menerima sambutan menggalakkan.
Setakat 31 Mac 2026, kumpulan memiliki jualan belum dibilkan sekitar RM618 juta yang dijangka menyokong pengiktirafan hasil progresif dan keterlihatan pendapatan pada FY2027.- DagangNews.com






