MN Holdings nafi terlibat dalam siasatan SPRM berkaitan projek pusat data di Johor

21/07/2025 - 09:24
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Julai – MN Holdings Berhad menafikan sebarang penglibatannya dalam projek pusat data di Johor yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
MN Holdings menjelaskan pihaknya tidak terlibat dalam projek tersebut, sama ada secara langsung atau pun tidak langsung.
“Syarikat ini tidak mempunyai sebarang hubungan atau peranan dalam projek pusat data Johor yang disebut dalam laporan media tersebut, dan tidak disiasat oleh mana-mana pihak berkuasa,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Penafian itu dibuat susulan beberapa laporan media pada 18 dan 20 Julai mengenai mengenai kegiatan rasuah melibatkan projek bernilai RM180 juta di Johor.
Laporan media menyatakan beberapa tangkapan telah dibuat dan syarikat yang disyaki menawarkan rasuah bagi mendapatkan kontrak berkaitan projek tersebut telah dikenalpasti SPRM.
Menurut MN Holdings, pelbagai spekulasi telah muncul selepas pengumuman SPRM terdapat beberapa firma tambahan sedang dikenal pasti dalam siasatan.
“Kami menegaskan bahawa nama MN Holdings tidak termasuk dalam senarai tersebut.
“Kami memberi jaminan MN Holdings Berhad tidak terlibat dalam siasatan tersebut dan terus komited terhadap pematuhan undang-undang serta mengamalkan tadbir urus korporat terbaik,” katanya.
Syarikat juga menegaskan mereka sentiasa mematuhi prinsip integriti dan etika dalam setiap aspek operasi serta kekal komited untuk mengekalkan kepercayaan semua pihak berkepentingan.
Siasatan SPRM itu antara lain melibatkan dakwaan pemberian rasuah untuk memperoleh projek pusat data yang dikatakan bernilai ratusan juta ringgit di Johor, dengan beberapa individu termasuk pegawai kanan telah ditahan.- DagangNews.com
standard


