CIMB Securities kekal unjuran MRCB, tunggu perkembangan projek Ipoh Sentral

21/07/2025 - 15:04
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Julai – Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) diyakini memperoleh manfaat besar daripada pembangunan bercampur Ipoh Sentral yang bakal menyumbang pendapatan ketara bermula tahun kewangan 2028, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun masih mengekalkan unjuran pendapatan MRCB sementara menunggu syarat-syarat utama di bawah perjanjian usaha sama dengan Ipoh Sentral Sdn Bhd (ISSB) dipenuhi sepenuhnya.
Antara syarat utama tersebut ialah penyerahan pelan pembangunan ISSB kepada pihak berkuasa berkaitan.
Projek berimpak tinggi berasaskan konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD) itu bakal dibangunkan di atas dua bidang tanah seluas 67 ekar bersebelahan Stesen Kereta Api Ipoh.
Tanah tersebut kini dimiliki Railway Assets Corporation (RAC) dan sedang dipindahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Railway Asset Holdings Sdn Bhd (RAHSB).
ISSB merupakan usaha sama 50:50 antara RAHSB dan Silver Smart, syarikat milik penuh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Incorporated), yang telah diberikan hak pembangunan dan pengurusan tanah menerusi perjanjian terdahulu bertarikh 29 November 2024.
Projek Ipoh Sentral akan merangkumi komponen kediaman, komersial, pejabat dan hospitaliti, dengan nilai pembangunan karas (GDV) dianggarkan sebanyak RM6.3 bilion.
Kos pembangunan dijangka mencecah RM5.6 bilion, sekali gus menjana keuntungan terkumpul sekitar RM630 juta sepanjang tempoh 20 tahun – bersamaan kira-kira RM32 juta setahun.
Sebagai balasan ke atas hak pembangunan, MRCB akan membuat bayaran sebanyak RM348 juta kepada ISSB secara berperingkat dalam tempoh dua dekad, dengan jaminan minimum RM198 juta.
Melalui JVDA ini, MRCB dan ISSB akan menubuhkan syarikat usaha sama berinkorporat bagi menerajui pembangunan, yang mana fasa awal akan memfokus kepada penambahbaikan kemudahan awam dan ruang komuniti.
CIMB Securities mengekalkan saranan “Beli” ke atas saham MRCB dengan harga sasaran tidak berubah pada 83 sen, biarpun kumpulan itu merekodkan prestasi lemah pada suku pertama tahun ini.
Bagi suku berakhir 31 Mac 2025, MRCB mencatatkan penyusutan hasil sebanyak 54 peratus tahun ke tahun kepada RM218.2 juta, manakala keuntungan sebelum cukai susut kepada RM4.9 juta berbanding RM19 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Namun begitu, prospek kumpulan kekal positif disokong kontrak baharu berjumlah RM5.6 bilion yang dijangka memacu prestasi kewangan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Setakat ini, saham MRCB meningkat sekitar 1 peratus secara tahunan, dengan harga dagangan semasa antara 52 sen hingga 55 sen minggu ini, berbanding paras terendah 38 sen pada Mac lalu. Ini meletakkan nilai pasaran kumpulan sekitar RM2.37 bilion.
Ipoh Sentral merupakan salah satu daripada dua projek pemangkin utama MRCB di Perak, selain pembangunan Taman Perindustrian Bersepadu Ipoh Raya. - DagangNews.com
standard


