Gamuda, IJM dan Sunway antara peneraju bidaan projek pusat data RM10 bilion di Selangor - Maybank IB

21/07/2025 - 16:43
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 21 Julai – Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd dan Sunway Construction Group Bhd muncul sebagai calon utama bagi empat projek pusat data baharu di Selangor yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM10 bilion, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata, projek tersebut melibatkan Eco World Development Group Bhd dan Sime Darby Property Bhd, yang masing-masing telah membuka tender bagi dua kontrak pusat data.
“Projek Eco World melibatkan kapasiti 360 megawatt (MW) dan terletak di Eco Business Park V, Puncak Alam, manakala fasiliti Sime Darby Property berkapasiti 160 MW dirancang di Elmina Business Park, Sungai Buloh.
“Setiap kontrak pusat data yang dianggarkan bernilai antara RM1 bilion hingga RM2 bilion telah menarik minat lima hingga enam pembida.
“Sebanyak empat kontrak yang merangkumi jumlah kapasiti sekitar 500 MW dijangka dianugerahkan dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Kesemua empat pusat data itu akan disewakan kepada Pearl Computing, yang difahamkan disokong oleh syarikat gergasi enjin carian dari Amerika Syarikat,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Maybank IB menjangkakan nilai keseluruhan kontrak akan mencecah RM10 bilion iaitu separuh daripadanya bagi kerja struktur utama (core and shell) yang bakal dianugerahkan oleh Eco World dan Sime Darby Property, manakala separuh lagi untuk kerja mekanikal, elektrikal dan paip (MEP) yang akan ditawarkan oleh Pearl Computing.
“Gamuda dilihat sebagai peneraju berpotensi utama berdasarkan kekuatan sistem pembinaan berindustri (IBS), diikuti IJM dengan kapasiti IBS berskala besar.
“Sunway pula menonjol dari segi pengalaman luas dalam pembinaan pusat data, meskipun memiliki kapasiti IBS lebih kecil,” tambahnya.
Setakat 31 Mei 2025, pusat data menyumbang 51 peratus daripada buku pesanan Sunway yang berjumlah RM7.9 bilion, serta 54 peratus daripada nilai kerja yang dimenangi tahun ini sebanyak RM3.5 bilion.
Sunway telah menyiapkan 84 MW pusat data dan sedang membina tambahan 170 MW iaitu jumlah yang melebihi Gamuda dan IJM.
Sementara itu, IJM sedang menyiapkan tiga pusat data di Johor, yang dapat memperkukuh kedudukannya dalam bidaan projek di Selangor.
Firma itu berkata, Gamuda pula sebelum ini telah dianugerahkan kontrak bernilai RM1.74 bilion oleh Pearl Computing pada Mei 2024 bagi kerja-kerja pusat data 80 MW di Elmina Business Park.
“Berdasarkan penanda aras konservatif RM20 juta bagi setiap megawatt, nilai kontrak gabungan projek akan mencecah RM10 bilion, dengan keuntungan sebelum cukai industri berpotensi sekitar RM1 bilion,” kata Maybank IB. - DagangNews.com
standard

