amree20/07/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Julai – MN Holdings Berhad selangkah untuk hampir disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas menerima kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 16 Julai 2026.
Bagaimanapun cadangan itu masih tertakluk kepada pematuhan baki keperluan kawal selia dan kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad, sebelum memasuki tempoh peralihan penting fasa pertumbuhannya.
Dalam makluman kepada bursa, kumpulan itu mengesahkan sudah memperoleh kelulusan tersebut yang diberikan oleh SC bagi cadangan pemindahan penyenaraiannya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama.
"Penyenaraian di Pasaran Utama dijangka meningkatkan profil korporat, mengukuhkan keyakinan pelabur serta memperluaskan keterlihatan dalam kalangan pelabur institusi dan runcit," kata MN Holdings.
Pengarah Urusannya, Datuk Clement Toh berkata, pemindahan itu turut mencerminkan kemajuan dicapai syarikat sejak disenaraikan di Pasaran ACE pada 28 April 2022 dengan modal pasaran RM85.8 juta.
Platform baharu bakal meningkatkan kredibiliti kumpulan dalam kalangan pelanggan, rakan niaga dan pelabur, berada di kedudukan lebih kukuh untuk memanfaatkan pelaburan berterusan pelbagai sektor.

Sepanjang 2026 katanya, MN Holdings terus memacu posisi dalam industri pembinaan utiliti infrastruktur menerusi beberapa kontrak dan kerja-kerja berkaitan infrastruktur tenaga di Semenanjung Malaysia.
"Kontrak-kontrak ini mencerminkan peranan syarikat semakin penting menyokong pembangunan yang memerlukan sambungan grid elektrik berkapasiti tinggi, serta pelaksanaan projek mengikut jadual," jelasnya.
Syarikat turut mengembangkan momentum dalam segmen infrastruktur lain apabila meraih lanjutan kerja bernilai RM19.1 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Masjid Tanah, Melaka pada Jun 2026.
Pada Julai 2026 pula ujarnya, MN Holdings berjaya memperoleh kontrak projek ladang solar yang bernilai RM46.6 juta, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE).
Kejayaan pemerolehan banyak tender dalam segmen pusat data (DC), tenaga, utiliti dan RE membuktikan keupayaannya untuk terus berkembang pesat sebagai penyedia rumusan infrastruktur kritikal negara.
"Dengan kelulusan daripada SC dan hanya berbaki isu pematuhan keperluan kawal selia sebelum pemindahan dimuktamadkan, syarikat dilihat berada pada landasan kukuh selepas ini," tambahnya. - DagangNews.com






