MoF Perjelas Isu RON95: Tiada Had Harian, Kuota 300 Liter Sebulan Mencukupi

LocalPolitics
23 Sep 2025 • 10:02 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Kementerian Kewangan (MoF) menafikan dakwaan kononnya pembelian petrol RON95 akan dihadkan sekali sehari.

Pelaksanaan Budi Madani RON95 tak bebankan rakyat

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan MoF, langkah itu bercanggah dengan tujuan pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diwujudkan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dan keperluan harian mereka terus dipenuhi.

“Had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan tujuan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

image is not available

Kerajaan tampung RM11 bilion subsidi RON95

Dalam pada masa yang sama, MoF turut menjelaskan, kerajaan memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran RM2.60 seliter.

Pemansuhan subsidi pukal pula dijangka menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, yang akan digunakan bagi memperluas bantuan bersasar seperti STR dan SARA.

image is not available

Difahamkan, rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif layak membeli sehingga 300 liter RON95 sebulan.

“Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta Proton Saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan,” jelas MoF.

Jelasnya lagi, siling kuota itu bukan sahaja cukup untuk kegunaan majoriti rakyat, malah menjadi benteng daripada eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab termasuk penyeludup dan syarikat komersial.