
KUALA LUMPUR – Program Budi Madani RON95 (Budi95) memberikan penjimatan sehingga RM200 sebulan kepada rakyat Malaysia, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurutnya, ia mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk terus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, seperti yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut Amir Hamzah, penurunan harga RON95 seperti yang dijanjikan kepada RM1.99 seliter adalah dengan harapan ia dapat membantu rakyat menangani kos sara hidup.
"Dalam sebulan dua ini sebenarnya harga semasa RON95 adalah antara RM2.60 ke RM2.75, jadi bila kita membeli di stesen minyak sebenarnya kerajaan dah beri subsidi agak besar. Kalau kita tengok dekat pam minyak harga RM2.60 penjimatan kepada rakyat hampir RM183.00 sebulan. Kalau harga RM2.75 jimat RM228.00 sebulan," katanya, lapor Bernama.
Amir Hamzah berkata demikian pada taklimat media mengenai Budi95 pada Selasa.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter bermula 30 September ini untuk rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan.
Bagi bukan warganegara pula, harga RON 95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh yang sama.
Menerusi Budi95, rakyat Malaysia layak menggunakan petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan namun bagi pemandu e-hailing, mereka dikecualikan daripada had terbabit serta boleh memohon untuk had lebih tinggi.
Semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak mendapat subsidi RON95 melibatkan lebih 16 juta orang.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata pelaksanaan Budi95 memberikan penjimatan kepada kerajaan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion bergantung kepada turun naik harga minyak dunia.
"Kami tidak dapat menjangkakan secara tepat jumlah penjimatan kerajaan kerana ia bergantung sama ada harga minyak kekal atau naik," katanya.
Kelayakan boleh disemak mulai Khamis ini secara dalam talian menerusi portal rasmi www.budimadani.gov.my di Pusat Khidmat Pelanggan Budi95 atau melalui aplikasi Setel dan CaltexGO selepas proses verifikasi identiti selesai. - 24 September, 2025
The post Program Budi95 beri penjimatan sehingga RM200 sebulan: Amir Hamzah appeared first on Scoop.
