MoF teliti mekanisme penyasaran subsidi diesel sama seperti BUDI95

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 5:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MoF teliti mekanisme penyasaran subsidi diesel sama seperti BUDI95
Datuk Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan (MoF) diarahkan untuk meneliti segera proses penyasaran subsidi diesel dengan menggunakan mekanisma seperti yang telah dilaksana bagi BUDI95.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu.

"MoF akan diminta untuk membentangkan (mekanisma baharu) sama ada di mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ataupun mesyuarat Jemaah Menteri dalam minggu yang akan datang," katanya ketika sidang akhbar khas Taklimat Krisis Tenaga Global dan pasca mesyuarat kabinet di sini pada Rabu.

Beliau berkata, Jemaah Menteri turut meneliti aspek penggunaan biodiesel sebagai sebahagian strategi mengurus tekanan krisis tenaga global.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, kadar adunan biodiesel akan ditingkatkan daripada B10 kepada B15 secara berperingkat bermula dengan B12 tanpa melibatkan sebarang kos tambahan kepada kerajaan.

“Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa infrastruktur sedia ada bagi biodiesel B20 pada waktu ini terdapat di seluruh Negeri Sarawak kecuali di Bintulu, juga ada di Labuan dan Langkawi.

"Insya-ALLAH, pihak kerajaan akan meneliti langkah-langkah seterusnya dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir akan melakukan satu lawatan ke premis untuk melihat bahan asas bagi tujuan pengadunan biodiesel pada hari Sabtu ini," jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memberitahu kerajaan memantau rapat penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan krisis tenaga global yang boleh menjejaskan persepsi awam.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti sebanyak 441 kandungan palsu sepanjang tempoh 29 Mac hingga 15 April.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kertas siasatan telah dibuka, 12 kertas siasatan telah diserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan tindakan lanjut, manakala 42 lagi kertas siasatan masih berjalan.

"Terbaharu sejak semalam (Selasa), sebuah grafik telah dikesan disebar yang menyalah guna format oleh salah satu media iaitu Sinar Harian, kononnya pengumuman mengenai Automatic Pricing Mechanism atau APM telah diumumkan.

"Untuk makluman semua, harga baharu bagi produk-produk bahan api yang dijual dalam negara Malaysia akan diumum setiap hari Rabu sekitar jam 6 atau 7 petang.

"Sebarang maklumat yang dibuat ataupun sebaran yang dikesan sebelum pada hari dan waktu itu yang bukan disebar melalui laman rasmi MoF berkemungkinan adalah bersifat palsu," jelas Fahmi.