Mohd Shuhaily bakal berdepan saman sivil dalam masa tujuh hari

LocalPolitics
21 Oct 2026 • 11:16 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mohd Shuhaily bakal berdepan saman sivil dalam masa tujuh hari

SEPANG: Dua anggota polis yang didakwa dicederakan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan memfailkan saman sivil bagi menuntut pampasan kecederaan dalam tempoh tujuh hari.

Peguam yang mewakili kedua-dua anggota itu, Kamal Hisham Jaffar berkata, tindakan itu akan diambil susulan kecederaan fizikal dan kesan mental dialami mangsa dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kini menunggu laporan perubatan daripada Pusat Kesihatan Salak dan Hospital Cyberjaya sebelum membuat penilaian bagi menentukan jumlah pampasan yang akan dituntut.

“Kami berjanji dalam masa tujuh hari ini akan failkan tindakan tersebut di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar selepas prosiding mahkamah di sini, hari ini.

Katanya, tindakan undang-undang itu akan dibuat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada berdasarkan kecederaan serta kesan lain yang dialami kedua-dua mangsa.

Dalam pada itu, Kamal Hisham menegaskan beliau mengendalikan kes berkenaan secara pro bono atau tanpa mengenakan bayaran guaman kepada kedua-dua anggota polis terbabit.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas kedua-dua anggota berkenaan mendapatkan bantuan daripadanya kerana berdepan kesukaran, termasuk kekangan kewangan dan perbezaan pangkat yang ketara dengan individu yang didakwa.

“Saya sendiri yang mengendalikan kes ini. Saya mengambil secara probono, percuma. Tidak ada apa-apa bayaran saya kenakan kepada kedua-dua anggota ini.

“Bila mereka berdua mendapatkan saya dan mengatakan mereka ada masalah serta kesukaran kerana ketiadaan duit, mereka percaya tidak ada orang yang mahu membantu mereka,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan di media sosial kononnya terdapat pihak atau kartel yang membiayai khidmat guaman bagi kes berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Muhammad Noor Tamrin, mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat kenyataan berlebihan mengenai kes berkenaan bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses perbicaraan.

Katanya, prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya di mahkamah perlu dihormati, selain memastikan keadilan diberikan kepada kedua-dua pihak.

“Keadilan bukan semata-mata untuk pihak mangsa, tetapi juga untuk pihak yang telah dituduh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kamal Hisham meminta orang ramai menghentikan spekulasi yang mengaitkan kedua-dua anggota polis itu dengan dakwaan sindiket atau ‘counter setting’.

Katanya, pihaknya menegaskan perkara berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kejadian yang menjadi asas kepada pertuduhan di mahkamah hari ini.

Beliau memaklumkan seorang daripada anggota polis itu baru tujuh hari bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), manakala seorang lagi sudah berkhidmat selama tiga tahun.

Menurutnya, tindakan mengambil gambar ketika kejadian berlaku mempunyai sebab tersendiri yang boleh dirujuk dalam laporan berkaitan.

“Kami cuma nak katakan, apa yang berlaku pada hari ini adalah isu satu perbuatan kekerasan oleh seorang pegawai tinggi kepada anggota berpangkat rendah. Itu sahaja.

“Kita serahkan kepada proses pentadbiran keadilan untuk menentukan pada akhirnya siapa yang berada di pihak yang benar dan siapa yang bersalah,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis pada 28 September lalu. – UTUSAN

The post Mohd Shuhaily bakal berdepan saman sivil dalam masa tujuh hari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved