
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, memohon supaya dilepaskan dengan bon peribadi tanpa perlu membayar wang ikat jamin berhubung dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis.
Permohonan itu dikemukakan peguamnya, Kitson Foong, ketika prosiding di Mahkamah Majistret pada Rabu, menurut laporan Sinar Harian.
Kitson berkata, anak guamnya yang berstatus Orang Kena Saman (OKS) wajar dilepaskan dengan jaminan bon peribadi, bukannya melalui ikat jamin.
Beliau berkata, sekiranya mahkamah memutuskan untuk mengenakan ikat jamin dengan seorang penjamin, jumlah RM1,000 bagi kedua-dua pertuduhan dianggap sebagai munasabah.
Peguam itu turut memohon supaya mahkamah tidak mengenakan syarat tambahan terhadap Mohd Shuhaily, termasuk menyerahkan pasport atau melapor diri di balai polis.
“Anak guam telah berkhidmat selama 26 tahun, pernah berkhidmat sebagai ‘atase’ polis di Washington DC.
“Atase ialah pegawai yang ditugaskan kepada staf kedutaan, misi diplomatik atau agensi Kerajaan.
“Beliau juga merupakan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum menerajui AKPS.
“Mohd Shuhaily sama sekali tidak berisiko untuk melarikan diri malah beliau merupakan individu yang menjaga sempadan negara,” katanya.
Peguam Yakin Anak Guam Tidak Berisiko Melarikan Diri
Kitson turut memohon supaya Mohd Shuhaily dikecualikan daripada menghadiri pengurusan kes berkenaan, dengan menyatakan anak guamnya berjanji untuk mengikuti semua prosiding semasa perbicaraan kelak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, mencadangkan supaya Mohd Shuhaily dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.
“Kami hanya meminta tertuduh tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” katanya.
Mahkamah akhirnya membenarkan Mohd Shuhaily diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Bagaimanapun, permohonan untuk mengecualikannya daripada menghadiri pengurusan kes praperbicaraan ditolak. Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November depan.
Mohd Shuhaily didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis berpangkat Lans Koperal, Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25, dan Mohamad Faiz Saman, 40.
Kejadian itu didakwa berlaku di kaunter J, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan. – The Malaysian Update
The post Mohd Shuhaily Jaga Sempadan Negara, Peguam Mohon Ikat Jamin Dikecualikan appeared first on The Malaysian Update.






