
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sehingga ke hari ini, nama Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih lagi menjadi bualan hangat di media sosial.
Apatah lagi semalam (28 Oktober), Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail mendedahkan status Mohd Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan nasihat perundangan.
Langkah itu dibuat sebelum keputusan mengenai penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatan diangkat bagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).
Mohd Shuhaily Akan Kembali Ke Pasukan Polis, Penempatan Secara Pinjaman Di AKPS Ditamatkan
Terbaharu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan Mohd Shuhaily akan dikembalikan ke pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran keputusan menamatkan penempatannya secara pinjaman di AKPS.
Jelas Saifuddin, perkara itu telah dibuat pada minggu lalu.
“Keputusan untuk mengembalikan beliau daripada penempatan secara pinjaman di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia kepada pasukan polis sudah dibuat,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Penugasan Shuhaily Di AKPS Berdasarkan Kontrak Pinjaman, Tidak Perincikan Penempatan Atau Tugas Baharu
Tambah Saifuddin, Mohd Shuhaily merupakan pegawai kanan polis yang telah ditempatkan secara pinjaman di AKPS sebelum keputusan untuk mengembalikannya ke PDRM telah dibuat.
“Sebab dia adalah kader polis ke AKPS (Beliau adalah pegawai PDRM yang ditempatkan atau dipinjamkan untuk berkhidmat di AKPS).
“Jadi, kita kembalikan dia pulang kepada pasukan polis dan pihak polis akan menyusullah,” katanya yang dipetik dari Kosmo.
Walau bagaimanapun, Saifuddin tidak memperincikan penempatan atau tugas baharu yang akan digalas oleh Mohd Shuhaily selepas kembali ke PDRM.
Ketika ditanya mengenai kekosongan jawatan Ketua AKPS, Saifuddin menjelaskan jawatan itu akan diisi oleh pegawai dari PDRM juga.
Penugasan Shuhaily Perlu Dibuat Rujukan Kepada AGC
Sebelum ini, Mohd Khalid menjelaskan rujukan kepada AGC mengenai penugasan Shuhaily di AKPS perlu dibuat.
Ini kerana kontrak peminjaman secara kader daripada PDRM bagi tempoh dua tahun mendapat perkenan YDPA.
“Kita merujuk perkara ini kepada AGC sebab penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS untuk tempoh selama dua tahun.
“Dia macam kontrak, jadi kontrak ini dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi sekiranya berlaku apa-apa perkara yang membabitkan tahan kerja dan sebagainya, tindakannya nanti kita bergantung kepada nasihat AGC. Tapi apa pun perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan penamatan kontrak dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, Mohd Shuhaily pada 21 Oktober lalu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada dua naggota polis di KLIA pada 28 September.
Beliau membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani selepas pertuduhan dibacakan.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Jika individu didapati bersalah, beliau boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohd Shuhaily didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman pada 28 September lalu antara jam 1.27 petang sehingga 1.35 petang di Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Ekmal Sofwan Dirman pada masa dan lokasi yang sama.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Video Marah Individu Di KLIA, KP AKPS Akan Keluar Kenyataan Media Dalam Masa Terdekat
Baca Artikel Berkaitan: Kes Shuhaily: 2 Anggota Polis Kemuka Laporan Tambahan, Nafi Dakwaan Kos Guaman Dibiayai Sindiket – Peguam
Baca Artikel Berkaitan: “Sekiranya Harga Itu Adalah Diri Saya, Maka Saya Bayar”- Isu Video Tular Di Klia, Ini Penjelasan Mohd Shuhaily






