‘Mohon pemilik kenderaan dilanggar ayah tampil bersama bukti’

LocalCars
15 Sep 2026 • 6:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Mohon pemilik kenderaan dilanggar ayah tampil bersama bukti’

PETALING JAYA – Seorang wanita memohon mana-mana pemilik kenderaan yang dipercayai dilanggar bapanya di Teluk Intan, Perak Ahad lalu tampil berserta bukti kamera papan pemuka (dashcam) bagi membolehkan tuntutan kerosakan dibayar.

Pengguna Threads @nunhazz menerusi hantaran dikongsi hari ini berkata, dia mewakili keluarga memohon maaf sekiranya bapanya ada terlanggar kenderaan lain ketika berada di kawasan berkenaan.

Menurutnya, bapanya merupakan pemilik kenderaan Proton Waja dengan nombor pendaftaran AET 3727.

“Saya Nurul, anak kepada pemilik kenderaan berdaftar AET 3727 jenis Proton Waja, memohon maaf jika ayah saya ada terlanggar siapa-siapa di kawasan Teluk Intan kelmarin.

“Saya mohon pemilik kenderaan yang dilanggar oleh ayah saya atau warisnya untuk tampil bersama dashcam sebagai bukti supaya kami boleh membayar tuntutan terhadap kenderaan encik atau puan,” katanya.

Nurul berkata, adik-beradiknya turut berusaha mendapatkan maklumat berhubung kejadian selepas bapanya memaklumkan bahawa dia ada melanggar kenderaan orang lain.

Bagaimanapun, bapanya didakwa tidak mengetahui atau mengingati nombor pendaftaran kenderaan terbabit.

“Langgar hari Ahad di Teluk Intan. Kami adik-beradik memang nak simpan kunci kereta.

“Nak kata ya, tidak…nak kata tidak pun, tidak. Macam lupa-lupa jugaklah sikit-sikit. Bila tanya, dia kata langgar kereta orang tapi tidak tahu nombor pendaftaran orang itu. Jadi kami mencari ini. Harap ada yang tampil,” katanya.

Dalam hantaran sama, dia sekali lagi memohon maaf atas kekhilafan bapanya dan berharap pemilik kenderaan yang terlibat dapat tampil dengan bukti kejadian bagi memudahkan urusan penyelesaian.- KOSMO! ONLINE

The post ‘Mohon pemilik kenderaan dilanggar ayah tampil bersama bukti’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved