
PETALING JAYA – Seorang wanita merayu orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau menyaksikan kemalangan di Kilometer 440.5 arah selatan dari Sungai Buaya ke Rawang awal pagi semalam supaya tampil membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 hingga 4.30 pagi itu, lima beranak tersebut dalam perjalanan dari Perlis menuju ke rumah mereka di Cheras sebelum kenderaan dinaiki dilanggar dari belakang.
Mangsa, Nurul Faiqah Abd Rahman, 34, berkata, ketika kejadian, suaminya, Tengku Muhammad Shah Asyraf Tengku Sallehuddin, 34, memandu kenderaan di lorong tengah sebelum kereta mereka dilanggar dari arah belakang.
“Ekoran kejadian itu, suami saya mengalami kecederaan patah tulang leher, manakala anak kedua pula patah tangan dan kaki serta perlu menjalani pembedahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Nurul Faiqah, pembedahan anak keduanya dijalankan hari ini di Hospital Sungai Buloh.
“Saya, suami dan anak kedua masih berada di hospital, manakala anak pertama dan bayi pula berada di inap desa bersama keluarga,” katanya.
Nurul Faiqah berkata, kenderaan yang melanggar mereka dipercayai sebuah Toyota Camry yang dinaiki tiga individu.
“Pemandu itu dipercayai mabuk. Namun, saya tidak pasti sama ada pihak terbabit sudah membuat laporan polis atau belum.
“Kami mahu membuat laporan dan berharap mana-mana pengguna lebuh raya dapat berkongsi sekiranya mempunyai rakaman dashcam kejadian kemalangan tersebut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai rakaman dashcam atau maklumat mengenai kemalangan itu diminta tampil membantu keluarga wanita tersebut bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Suami saya patah tulang leher, tolong sesiapa ada dashcam kemalangan’ appeared first on Kosmo Digital.





