
Pada awal tahun ini, sewaktu acara CES 2026, MSI telah melancarkan beberapa buah paparan skrin gaming, dan diantaranya ialah MSI MPG 341CQR QD-OLED X36 yang tampil dengan penggunaan panel OLED Tandem generasi kelima yang baru, resolusi dan kadar segar semula tinggi dan juga pelbagai jenis ciri yang menjadikannya salah satu paparan skrin gaming yang ditunggu-tunggu oleh gamer tegar.
Paparan skrin ini hadir menggunakan paparan QD-OLED melengkung bersaiz 34 inci dengan resolusi 4K (3440 x 1440) dengan kadar segar semula setinggi 360Hz dan mempunyai nilai kecerahan setinggi 1300 nit. Dari segi sokongan olahan warna, paparan skrin ini hadir dengan kemampuan untuk mengolah 99 peratus daripada gamut warna DCI-P3 dan mempunyai nilai delta kejituan olahan warna kurang daripada dua.

Dengan penyenaraian piawaian VESA ClearMR 18000 dan VESA DisplayHDR500, pengguna boleh memanfaatkan paparan ini untuk pelbagai jenis kegunaan, dari gaming ke tontonan video dan juga untuk kerja menyunting video tanpa sebarang isu.

Untuk mengurangkan isu pantulan cahaya pada skrin OLED, MSI juga telah menambah lapisan DarkArmor pada paparan skrin ini, dan dengan bantuan panel QD-OLED generasi kelima yang membantu menyerap sinar cahaya yang lebih baik, ini membolehkan pengguna untuk menikmati adegan-adegan cerah dan gelap tanpa perlu risau tentang pantulan cahaya dan bayangan dari skrin.

Paparan ini juga hadir dengan palam HDMI 2.1, DisplayPort 2.1, palam USB Type-C yang cukup berkuasa untuk mengecas komputer riba nipis dan ringan. Tapak kaki yang lebih kecil juga memberi pengguna lebih banyak ruang diatas meja untuk hiasan ataupun aksesori komputer yang lain.

MSI Malaysia turut mengesahkan bahawa paparan gaming MSI MEG X, iaitu paparan sama yang tampil dengan ciri-ciri AI tambahan, seperti AI Tracker, AI Gauge, AI Vision+, AI Scene, AI Goggle dan AI Scope juga akan memasuki pasaran tempatan sekitar bulan Oktober 2026 kelak.

MSI Malaysia mengatakan bahawa paparan skrin ini akhirnya sudahpun memasuki pasaran tempatan pada harga RM4999 dan boleh dibeli melalui kedai atas talian MSI Malaysia.
Sumber: MSI Malaysia




