Monsun Timur Laut: Hulu Langat tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana

LocalEnvironment
2 Nov 2026 • 5:21 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Monsun Timur Laut: Hulu Langat tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana

SHAH ALAM, 2 NOV: Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat berada pada tahap kesiapsiagaan 100 peratus bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Pegawai Daerah Hulu Langat, Dato’ Mohd Jusni Hashim berkata penyelarasan antara agensi berkaitan sedang diperkukuh bagi memastikan setiap pihak bersedia melaksanakan tanggungjawab masing-masing, termasuk dalam aspek pengurusan bencana dan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas.

Image from: Monsun Timur Laut: Hulu Langat tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana
Pegawai Daerah Hulu Langat Dato’ Mohd Jusni Hashim ketika Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Oktober 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

“Menjelang hujung tahun memang kita jangka ada banjir besar di Hulu Langat. Di peringkat daerah kita sedang adakan mesyuarat penyelarasan untuk pastikan setiap agensi berfungsi dengan tindakan terbaik.

“Persediaan kita sekarang pada tahap 100 peratus bersedia. Insya-Allah masing-masing faham peranan masing-masing dan akan ditambah baik dari masa ke semasa,” katanya kepada Media Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan MTL bermula pada 27 Oktober lalu dan berterusan sehingga Mac 2027, dengan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan diramal berlaku sepanjang fasa awal monsun berkenaan.

Dalam usaha mengurangkan risiko banjir dalam jangka panjang, Mohd Jusni berkata, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 kini berada dalam proses pemilihan tender dan dijangka mengambil masa lima tahun untuk disiapkan secara berperingkat.

“Projek tebatan banjir di Hulu Langat yang bernilai lebih RM500 juta, sekarang dalam proses tender. Projek ini dijangka siap dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Image from: Monsun Timur Laut: Hulu Langat tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana
Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2 kini berada dalam proses pemilihan tender dan dijangka mengambil masa lima tahun untuk disiapkan secara berperingkat

Projek berkenaan merupakan antara usaha kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur tebatan banjir serta meningkatkan tahap keselamatan penduduk di kawasan terlibat.

Pada Februari lalu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilaporkan berkata, proses reka bentuk projek RTB Sungai Langat Fasa 2 dijadual dimuktamadkan pada September.

Beliau berkata, projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Kelima (RP5) 2025 ketika ini berada dalam fasa penyediaan reka bentuk terperinci, dengan kemajuan reka bentuk pada peringkat konsep setakat Januari lalu.

Menurutnya, perunding telah dilantik pada 9 Mei tahun lalu, dengan tempoh perkhidmatan bermula 19 Mei 2025 hingga 19 Ogos 2032 bagi melaksanakan penyediaan reka bentuk serta penyeliaan pelaksanaan projek.

RTB Sungai Langat Fasa 2, Pakej 1 merangkumi kerja baik pulih dan naik taraf Sungai Langat dari Kampung Sungai Lui hingga Taman Sri Nanding, dengan peruntukan sebanyak RM512 juta.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved