MOSTI mahu teknologi sampai ke luar bandar

LocalTechnology
8 Sep 2026 • 1:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MOSTI mahu teknologi sampai ke luar bandar

GEORGE TOWN: Usaha membawa teknologi ke kawasan pedalaman termasuk lokasi luar bandar antara fokus utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam permohonan peruntukan bagi Belanjawan 2027.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, langkah itu bertujuan meningkatkan kesejahteraan serta memudahkan kehidupan rakyat, selain memastikan pembangunan dan penggunaan teknologi memberi manfaat secara langsung kepada mereka.

“Kita akan beri fokus kepada teknologi yang boleh membantu rakyat termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman serta luar bandar. Kita cuba bawa teknologi itu untuk kesejahteraan mereka.

“Itu adalah fokus kita daripada menghantar orang ke angkasa. Kita lebih fokus kepada penggunaan teknologi yang boleh menyenangkan kehidupan rakyat,” katanya selepas merasmikan Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) Ke-9 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), di sini, hari ini.

Sementara itu, Lih Kang berkata, ketika ini, permohonan peruntukan MOSTI untuk Belanjawan 2027 telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF), namun, jumlah serta perincian rangka peruntukan berkenaan hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan.

“Tak apa, nanti MOF sudah lulus, baru kita umumkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keperluan penggunaan teknologi sewaktu kejadian bencana terutama bencana seperti di Nepal, beliau berkata, Malaysia sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang bencana termasuk menerusi penggunaan teknologi dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Lih Kang berkata, penggunaan teknologi amat penting dalam membantu pasukan penyelamat mengendalikan operasi bencana termasuk mengesan mangsa, mengenal pasti identiti serta memantau risiko bencana susulan.

“Pengalaman tragedi tanah runtuh Batang Kali (Selangor) sebelum ini menyaksikan pelbagai teknologi digunakan termasuk dron, teknologi angkasa dan analisis DNA bagi membantu usaha mencari mangsa selain memastikan keselamatan pasukan penyelamat daripada kemungkinan berlaku tanah runtuh susulan.

“Dalam hal ini, teknologi angkasa juga boleh dimanfaatkan bagi mengesan pergerakan atau perubahan kawasan yang berpotensi berlaku tanah runtuh kedua dan ketiga, sekali gus membantu pasukan SAR membuat penilaian risiko dengan lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN

The post MOSTI mahu teknologi sampai ke luar bandar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved