MOT galakkan pembangun aplikasi guna data pengangkutan awam

LocalTechnology
22 Oct 2026 • 4:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MOT galakkan pembangun aplikasi guna data pengangkutan awam

PETALING JAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) menggalakkan lebih banyak pihak membangunkan aplikasi berkaitan pengangkutan awam dengan memanfaatkan data yang telah dibuka kepada umum sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya sememangnya mengamalkan dasar data terbuka melibatkan pelbagai maklumat berkaitan pengangkutan awam.

Menurutnya, antara data yang boleh diakses termasuk jumlah penumpang harian, kekerapan perkhidmatan, perjalanan tren, jadual waktu serta tempoh perjalanan.

“Kita dari segi data, ia lebih kepada data pengangkutan awam. Data jalan raya pula di bawah Lembaga Lebuh Raya dan juga Jabatan Kerja Raya. Bagi data pengangkutan awam, sejak beberapa tahun lalu kita telah mengamalkan dasar data terbuka.

“Data dari segi jumlah penumpang, kekerapan dan perjalanan tren serta sebagainya memang boleh diakses oleh mana-mana pihak yang mahu membina aplikasi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, di sini, hari ini.

Anthony berkata demikian ketika ditanya sama ada MOT akan memberikan sebarang sokongan kepada aplikasi tempatan susulan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam.

Tambah Anthony, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mempunyai sejumlah besar data berkaitan operasi pengangkutan awam yang boleh dimanfaatkan orang ramai termasuk pembangun aplikasi.

Menurut beliau, keterbukaan data berkenaan secara tidak langsung dapat membantu mana-mana pihak yang berminat membangunkan aplikasi pengangkutan awam yang dapat memudahkan perjalanan pengguna.

“Prasarana mempunyai data yang sangat banyak dan ia dibuka kepada orang ramai termasuk jumlah penumpang harian, kekerapan tren, jadual waktu dan sebagainya.

“Jadi, kita menggalakkan aplikasi dibangunkan bagi menyokong dan memberikan kemudahan kepada orang ramai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post MOT galakkan pembangun aplikasi guna data pengangkutan awam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved