MOT rangka pindaan undang-undang kes curi kabel rel

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 12:06 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MOT rangka pindaan undang-undang kes curi kabel rel

GEORGE TOWN – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka pindaan undang-undang bagi memperketatkan hukuman berat terhadap individu yang mencuri kabel sistem rel termasuk kemungkinan mengenakan tempoh pemenjaraan lebih lama.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha itu sedang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan hukuman lebih tegas dapat dikenakan terhadap pelaku.

Menurut beliau, butiran pindaan berkenaan masih dalam perbincangan dasar dan belum dimuktamadkan.

“Memang kita sedang merangka pindaan undang-undang. Kita berusaha bekerjasama dengan pihak KDN untuk memperketatkan hukuman.

“Dari segi butirannya, belum kita muktamadkan. Sekarang ini masih dalam perbincangan dasar untuk meningkatkan hukuman penjara dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden cubaan mencuri kabel yang dikesan di antara Stesen Phileo dan Stesen Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur, semalam.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Perasmian Bas elektrik Rapid Penang di Depoh Weld Quay di sini, tadi.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, kegiatan mencuri kabel merupakan masalah besar yang dihadapi pengendali sistem rel negara, termasuk MRT, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Malah, katanya, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang masih belum beroperasi juga pernah berdepan kejadian kecurian kabel.

Beliau menegaskan, perbuatan itu bukan satu kesalahan mencuri biasa kerana boleh menjejaskan operasi sistem rel serta mengancam keselamatan orang ramai.

“Setiap kali berlaku kecurian kabel, ia akan mengganggu keselamatan dan operasi kita. Ini bukan kecurian biasa kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai serta membawa kesan besar kepada sistem rel.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, perlu ada hukuman yang lebih berat untuk memberikan satu mesej. Ini bukan kecurian biasa. Apabila kecurian kabel ini, ia melibatkan keselamatan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, langkah pencegahan perlu dipertingkatkan oleh pengendali sistem rel sementara proses pindaan undang-undang dilaksanakan.

“Tetapi sementara memperketatkan hukuman, langkah-langkah pencegahan juga perlu dibuat oleh pihak operator. Ini termasuklah pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik serta penambahan anggota polis bantuan bagi memastikan kawasan larangan tidak dicerobohi pencuri kabel,” ujarnya.

Tambahnya, pendekatan menerusi penguatkuasaan undang-undang dan langkah pencegahan perlu dilaksanakan secara serentak bagi membendung kejadian sama daripada terus berulang. -KOSMO! ONLINE

The post MOT rangka pindaan undang-undang kes curi kabel rel appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved