Undang-undang kekang amalan Ali Baba dibentang tahun depan 

LocalPolitics
14 Oct 2026 • 11:18 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Undang-undang kekang amalan Ali Baba dibentang tahun depan 

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang membentangkan undang-undang baharu atau pindaan perundangan berkaitan amalan rent-seeking dan amalan Ali Baba pada tahun depan bagi membendung ketirisan dalam pemberian lesen dan kontrak.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pihaknya sedang melaksanakan kajian bagi menyediakan kerangka kawal selia serta cadangan perundangan berkaitan yang bertujuan menangani amalan berkenaan secara lebih menyeluruh.

“Kajian Kementerian Ekonomi mendapati terdapat Undang-undang Kecil sedia ada di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan dengan aktiviti Ali Baba, khususnya larangan pemindahan lesen di peringkat PBT.

“Bagaimanapun, terdapat kekangan dalam undang-undang sedia ada yang dilihat tidak mampu membendung amalan rent-seeking.

“Kajian yang sama juga menunjukkan isu rent-seeking berupaya menjejaskan kecekapan sosioekonomi negara disebabkan ketirisan dalam pemberian lesen, kontrak, kemudahan dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta menteri menyatakan status perkembangan terkini penggubalan rang undang-undang berkaitan sama ada dalam bentuk akta baharu atau pindaan akta sedia ada bagi membanteras masalah lesen Ali Baba di Malaysia serta garis masa pembentangannya di Parlimen.

Mengulas lanjut, Akmal berkata, kerajaan komited membanteras amalan rent-seeking dan fenomena Ali Baba yang boleh menjejaskan kecekapan pasaran, mewujudkan persaingan tidak adil serta membantutkan pertumbuhan produktiviti negara.

Katanya, kajian berkenaan turut mengambil kira pandangan pemain industri, agensi penguatkuasaan, kementerian berkaitan, kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan kerangka kawal selia yang dirangka bersifat menyeluruh serta bersesuaian dengan keperluan semasa.

“Dalam hubungan ini, proses penggubalan perundangan memerlukan penelitian yang mendalam bagi memastikan setiap cadangan yang dibangunkan adalah praktikal, berkesan dan boleh dilaksanakan.

“Memandangkan isu rent-seeking merentas bidang kuasa beberapa kementerian dan agensi, penyelarasan serta persetujuan bersama turut diperlukan sebelum sesuatu pendekatan dimuktamadkan.

“Seterusnya, cadangan tersebut perlu melalui proses pertimbangan dan kelulusan secara berperingkat, termasuk di peringkat Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara (JPPN) dan Jemaah Menteri, sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Jelasnya lagi, antara pendekatan yang sedang diteliti ialah penggubalan undang-undang baharu khusus berkaitan anti-rent-seeking atau pindaan kepada peruntukan undang-undang sedia ada, bergantung pada hasil kajian dan proses penyelarasan antara pihak berkepentingan.

Bagaimanapun, katanya, proses penggubalan perundangan memerlukan penelitian mendalam bagi memastikan setiap cadangan yang dibangunkan praktikal, berkesan dan boleh dilaksanakan. –UTUSAN

 

The post Undang-undang kekang amalan Ali Baba dibentang tahun depan  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved