Moto3: Danish bergelut di Phillip Island

24 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Moto3: Danish bergelut di Phillip Island

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli, menempuh hari pembukaan yang mengecewakan pada Grand Prix (GP) Australia apabila terlepas tiket automatik ke sesi Kelayakan 2 (Q2) susulan kemalangan pada sesi latihan rasmi di Litar Phillip Island, semalam.

Tampil buat kali pertama di litar mencabar itu, pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi berkenaan bergelut mencari rentak seawal sesi latihan bebas pertama (FP1) apabila sekadar menduduki tangga tercorot (ke-26) satu minit 38.621 saat (s).

Usaha pelumba berusia 19 tahun itu untuk mencatat masa lebih baik pada sesi latihan sebelah petang terus berdepan laluan sukar apabila dia hilang kawalan di selekoh kedua sebelum jenteranya terbabas dan merempuh benteng penghadang litar di pertengahan sesi.

Walaupun bangkit memperbaiki catatan masa kepada 1:37.774s sejurus kembali ke litar, ia belum cukup untuk melonjakkan kedudukannya apabila sekadar menamatkan sesi di tempat ke-25, sekali gus memaksanya beraksi di sesi Kelayakan 1 (Q1), hari ini.

Nasib sama turut menimpa pelumba muda Indonesia, Veda Ega Pratama, yang terlepas kelompok 14 pelumba terbaik ke Q2 selepas menamatkan sesi latihan di tangga ke-16 dengan catatan 1:36.248s bersama pasukan Honda Team Asia.

Sesi latihan itu sebaliknya dikuasai pelumba Sepanyol, Alvaro Carpe (Red Bull KTM Ajo) yang merakam masa terpantas 1:35.292s, manakala wakil tuan rumah dari GRYD Racing, Joel Kelso dan Maximo Quiles masing-masing melengkapkan kelompok tiga terpantas untuk ke Q2.

Keputusan hari pertama itu jelas merentap momentum Hakim Danish yang kini memburu sasaran menamatkan saingan musim ini dalam kelompok lima terbaik keseluruhan.

Pelumba kelahiran Terengganu itu ketika ini menghuni tangga kesembilan dunia dengan mengumpul 103 mata.

 

The post Moto3: Danish bergelut di Phillip Island appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved