MotoGP 2026: 649 Anggota Polis Bersiap Sedia Kawal Keselamatan Dan Trafik

29 Oct 2026 • 5:20 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

MotoGP 2026: 649 Anggota Polis Bersiap Sedia Kawal Keselamatan Dan Trafik

Seramai 649 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan keselamatan pengunjung serta kelancaran trafik sepanjang Kejohanan MotoGP 2026 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (PSIC) dari 30 Oktober hingga 1 November ini.

Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Ravi A/L Munusamy, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA telah membuat persiapan bagi melaksanakan pelan kawalan keselamatan dan pengurusan lalu lintas secara bersepadu sepanjang kejohanan berlangsung.

Menurutnya, penugasan itu merangkumi kawalan keselamatan bagi melindungi pengunjung, peserta dan pihak yang terlibat, selain memastikan pergerakan kenderaan di sekitar litar serta laluan utama berjalan lancar.

Image from: MotoGP 2026: 649 Anggota Polis Bersiap Sedia Kawal Keselamatan Dan Trafik
Kredit: Facebook Polis Daerah KLIA

Katanya, anggota polis akan ditempatkan di pintu masuk dan lokasi strategik menuju ke PSIC bagi mengawal pergerakan pengunjung, mengurangkan kesesakan serta menjaga keselamatan orang ramai.

“PDRM akan melaksanakan kawalan dan lencongan lalu lintas berdasarkan keadaan semasa, termasuk jumlah kenderaan serta tahap kesesakan di laluan utama menuju ke PSIC.

“Semua pengguna jalan raya diminta memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan anggota trafik, papan tanda dan laluan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ravi berkata, laluan kontra yang disediakan hanya untuk pergerakan kenderaan kenamaan (VVIP) yang diiringi anggota trafik serta kenderaan kecemasan seperti ambulans dan jentera bomba.

Sehubungan itu, orang ramai dilarang menggunakan laluan berkenaan tanpa arahan atau kebenaran polis.

Dalam pada itu, kenderaan persendirian termasuk kereta dan motosikal dibenarkan memasuki kawasan kejohanan, namun pengunjung perlu meletakkannya di kawasan parkir khas yang disediakan.

Pengunjung turut digalakkan menggunakan perkhidmatan bas perantara dari kawasan parkir ke Welcome Centre, iaitu pusat ketibaan pengunjung PSIC, bagi mengurangkan jumlah kenderaan persendirian dan kesesakan di sekitar litar.

Ravi menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal, tiba di lokasi lebih awal serta mengenal pasti pintu masuk dan kawasan parkir berdasarkan tiket masing-masing.

Pengunjung juga diingatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan, persimpangan atau lokasi yang boleh menghalang aliran trafik dan laluan kecemasan.

Selain itu, orang ramai dilarang mengalihkan kon atau penghadang jalan serta menggunakan laluan kontra tanpa kebenaran kerana tindakan itu boleh menjejaskan kelancaran trafik dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Pengguna jalan raya yang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 turut dinasihatkan memperuntukkan masa perjalanan tambahan sepanjang tempoh kejohanan bagi mengelakkan kelewatan.

Baca juga:

Beliau berkata, kerjasama pengunjung, pengguna jalan raya, pihak penganjur, agensi berkaitan dan media amat penting bagi memastikan penganjuran MotoGP 2026 berjalan lancar, teratur dan selamat.

Sehubungan itu, semua pihak diminta supaya bersabar, memandu secara berhemah serta mematuhi arahan anggota polis dan petugas yang ditempatkan di lapangan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved