
SEPANG: Motosikal dan kereta persendirian dibenarkan memasuki kawasan Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (PSIC) sempena Kejohanan MotoGP 2026 dari 30 Oktober hingga 1 November ini.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kenderaan berkenaan bagaimanapun hendaklah diletakkan di tempat letak kenderaan yang dikhaskan.
Beliau berkata, orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan bas perantara dari kawasan parkir ke Welcome Centre bagi mengurangkan kesesakan di sekitar litar.
“Seramai 649 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang tiga hari kejohanan itu bagi memastikan keselamatan pengunjung serta kelancaran lalu lintas menerusi pelan kawalan keselamatan dan pengurusan trafik secara bersepadu.
“Anggota polis akan ditempatkan di pintu masuk serta laluan strategik menuju ke litar bagi mengawal pergerakan pengunjung, mencegah kesesakan dan menjamin keselamatan orang ramai.
“PDRM akan melaksanakan kawalan dan lencongan lalu lintas berdasarkan keadaan semasa, termasuk jumlah kenderaan serta tahap kesesakan di laluan utama menuju ke PSIC,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, orang ramai diminta memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan anggota trafik, papan tanda serta arahan laluan yang disediakan sepanjang kejohanan berlangsung.
Ravi berkata, laluan kontra yang disediakan adalah khusus untuk pergerakan kenderaan kenamaan (VVIP) yang diiringi anggota trafik serta kenderaan kecemasan seperti ambulans dan jentera bomba. – UTUSAN
The post MotoGP: Kereta, motosikal persendirian dibenar memasuki SIC appeared first on Utusan Malaysia.






