
MILAN – Hasrat pelumba sensasi Turkiye, Toprak Razgatlioglu untuk menamatkan musim sulung dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dengan lebih baik tidak kesampaian apabila kecederaan bahu memaksanya menjalani pembedahan dan terlepas baki perlumbaan musim ini.
Pelumba pasukan Pramac Yamaha itu mengalami kecederaan bahu ketika sesi latihan Grand Prix (GP) Indonesia di Mandalika, sebelum pemeriksaan lanjut mendapati tahap kecederaannya lebih serius daripada jangkaan awal.
Toprak sempat kembali beraksi pada sesi kelayakan dan menamatkan perlumbaan pecut, namun terpaksa menarik diri pada peringkat awal perlumbaan utama selepas mendapati bahunya tidak mempunyai kekuatan mencukupi.
“Selepas pemeriksaan perubatan lanjut susulan kemalangan di Mandalika, jelas bahawa kecederaan bahu saya lebih serius daripada yang disangka. Oleh itu, saya akan menjalani pembedahan dalam masa terdekat bagi memastikan peluang terbaik untuk pulih sepenuhnya dan kembali pada tahap 100 peratus,” katanya.
Pembedahan dijadualkan berlangsung di Milan pada 26 Oktober ini, sebelum juara dunia WorldSBK tiga kali itu memulakan proses pemulihan, sekali gus mengesahkan dia akan terlepas GP Australia di Phillip Island serta baki perlumbaan musim 2026.
Bagaimanapun, pelumba berusia 29 tahun itu menegaskan keputusan menjalani pembedahan dibuat selepas berbincang dengan doktor serta individu terdekat, kerana dia mahu memastikan pemulihan menyeluruh sebelum kembali bersaing.
Kekosongan yang ditinggalkan Toprak bagi lima pusingan terakhir musim ini dijangka diisi pelumba ujian Yamaha, Augusto Fernandez. – AGENSI
The post MotoGP: Musim sulung Toprak berakhir appeared first on Kosmo Online.





