
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Formula 1 berjaya melonjakkan popularitinya dengan memasukkan lebih banyak perlumbaan di litar jalan raya bandar. Strategi ini nyata berkesan kerana ia membawa perlumbaan lebih dekat kepada penonton, sekaligus menarik perhatian peminat baharu di seluruh dunia.
Melihat perkembangan ini, ramai tertanya-tanya sama ada MotoGP akan mengikut langkah yang sama. Dalam satu temubual bersama DAZN ketika Grand Prix Las Vegas hujung minggu lalu, CEO Dorna, Carmelo Ezpeleta, memberi respon terhadap isu tersebut.
Menurut Ezpeleta, MotoGP tidak menolak kemungkinan untuk berlumba di litar jalan raya, namun faktor keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
“Kami tiada masalah untuk berlumba di litar bandar atau tidak; satu-satunya perkara yang kami perlukan adalah run-off area yang mencukupi,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan litar jalan raya tidak memenuhi standard keselamatan MotoGP, namun mengakui terdapat beberapa litar F1 yang mempunyai run-off area yang sesuai. Ini membuka sedikit ruang kepada potensi perubahan format perlumbaan pada masa depan.
Sejak Liberty Media mengambil alih MotoGP, beberapa pihak menjangkakan akan ada perubahan besar dalam kalendar musim akan datang. Dengan kontrak Phillip Island yang hampir tamat, terdapat sumber yang mendakwa bahawa Albert Park City Circuit mungkin dipertimbangkan sebagai pengganti bagi AustralianGP.
Walaupun tiada pengesahan rasmi, kenyataan Ezpeleta menunjukkan bahawa MotoGP kini lebih terbuka terhadap idea penganjuran di kawasan bandar — selagi keselamatan penunggang dapat dijamin.
Perkembangan ini pastinya akan menjadi perhatian peminat, terutama jika MotoGP benar-benar menuju ke arah pengalaman baharu yang lebih dekat dengan suasana perlumbaan bandar seperti F1.
The post MotoGP Tidak Tolak Kemungkinan Berlumba di Litar Jalan Raya, Tetapi Utamakan Keselamatan – Ezpeleta appeared first on TW Media.





