
Motor Dipercayai Terhumban Dalam Longkang, Remaja 15 Tahun Ditemui Maut
KUCHING — Seorang remaja lelaki ditemui maut bersama sebuah motosikal selepas dipercayai terhumban di dalam longkang di Jalan Kampung Pemindahan, Marudi pagi tadi, lapor Astro Awani.
Kejadian itu disedari oleh orang awam selepas mangsa yang berusia 15 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di dalam longkang berkenaan.
Susulan penemuan itu, orang awam melaporkan kepada Balai Bomba Marudi kira-kira jam 7.20 pagi.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah berkata, operasi membawa keluar remaja terbabit dari longkang dilakukan oleh sepasukan anggota daripada balai bomba itu selepas dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa yang berketurunan Iban itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik dari Hospital Marudi,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan lanjut berhubung kejadian juga masih dijalankan oleh pihak polis bagi mengenal pasti punca kejadian.
Mayat Akauntan Ditemukan Di Tepi Jalan
Tiga hari lalu, mayat seorang akauntan sebuah syarikat swasta ditemui mati dipercayai dibunuh di tepi Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, lapor Bernama.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin, pihaknya dimaklumkan mayat lelaki berusia 28 tahun itu dijumpai dalam keadaan tertiarap dan tidak berpakaian oleh orang awam sekitar pukul 6 pagi.
“Pemeriksaan awal polis mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada mayat mangsa. Mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat yang akan dilakukan esok.
“Semasa ditemukan tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa, namun identitinya telah dikenal pasti oleh keluarga lelaki itu,” katanya.
Sumber: Astro Awani
The post Motor Dipercayai Terhumban Dalam Longkang, Remaja 15 Tahun Ditemui Maut appeared first on Siakap Keli.
