
LEBIH sedekad lalu, apabila berbicara tentang motosikal keluaran China ramai yang menganggapnya sebagai satu produk yang tidak berkualiti.
Namun kini, semuanya berubah dan tidak dapat dinafikan kualiti motosikal China makin bertambah baik dari semasa ke semasa dan mula mendapat permintaan di pasaran.
Maka tidak hairanlah motosikal keluaran negara itu membanjiri pasaran tempatan dan pelbagai model dilancarkan oleh syarikat pengeluar dan pengedar.
Selain dilengkapi teknologi terkini, harga yang ditawarkan lebih kompetitif berbanding syarikat pengeluar motosikal lain yang telah lama bertapak di Malaysia. Faktor ini menjadi antara tarikan utama pengguna memilih motosikal China.
Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia, Datuk Wee Hong berkata, pengalaman pengeluar motosikal China sejak lebih dua dekad lalu memasuki pasaran Malaysia menyumbang kepada peningkatan dari segi kualiti dan kemampuan produk yang ditawarkan.
Menurut beliau, persepsi ke atas jentera China yang sebelum ini dikaitkan dengan kualiti rendah ketika mula memasuki pasaran kira-kira 25 tahun lalu dilihat semakin berubah.
“Sekarang, selepas 25 tahun, kualiti mereka sudah meningkat dan bertambah baik. Motosikal keluaran China lebih ekonomik. Jadi ia memberi peluang kepada golongan B40 untuk memiliki motosikal,” katanya.
Kemasukan lebih banyak jenama motosikal keluaran China turut memberikan pengguna pilihan yang lebih luas, khususnya mereka yang mahukan motosikal yang berkapasiti lebih besar pada harga mampu milik.
Sebagai contoh, motosikal berkapasiti 250cc keluaran China ditawarkan pada harga RM10,000, membuka peluang kepada lebih ramai pengguna untuk memiliki kenderaan lebih besar tanpa membayar harga yang terlalu tinggi.
Wee Hong menjangkakan penguasaan motosikal China di negara ini akan terus berkembang dan dianggarkan mencapai lebih 30 peratus daripada pasaran ketika ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek keselamatan perlu diberi keutamaan oleh semua pengeluar motosikal China yang mahu mengembangkan pasaran di Malaysia.
Jelasnya, peningkatan kualiti motosikal bukan sahaja perlu tertumpu kepada aspek reka bentuk, teknologi dan harga, tetapi turut merangkumi ciri-ciri keselamatan bagi melindungi pengguna.
“Yang paling penting ialah keselamatan. Saya berharap semua motosikal keluaran China yang datang ke Malaysia menitikberatkan aspek keselamatan kerana kadar kemalangan motosikal di Malaysia masih terlalu tinggi,” katanya.
Tambahnya, persaingan yang semakin sengit dalam pasaran motosikal Malaysia akan memberi manfaat kepada pengguna melalui lebih banyak pilihan, harga yang kompetitif serta produk yang lebih selamat.
The post Motosikal China banjiri pasaran tempatan appeared first on Kosmo Online.




