Motosikal roda tiga dah macam ‘stor bergerak’

29 Jul 2026 • 3:59 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Motosikal roda tiga dah macam ‘stor bergerak’

SELAYANG – Sebuah motosikal roda tiga yang digunakan seorang lelaki etnik Rohingya untuk mengutip besi buruk dikesan membawa muatan berlebihan sehingga berisiko membahayakan pengguna jalan raya dalam Operasi Pendatang Warga Asing (Ops Pewa) di sini hari ini.

Kenderaan itu dilihat sarat dengan pelbagai barangan terpakai termasuk sebuah mesin basuh, rangka tilam katil, besi buruk dan barangan lusuh lain yang disusun tinggi di bahagian tepi motosikal berkenaan.

Turut kelihatan sebuah bakul plastik di bahagian hadapan motosikal itu, manakala di belakang pula terdapat guni besar dipercayai berisi tin buruk serta bahan buangan lain untuk dijual semula.

Penunggang terbabit dikenali sebagai Mustafa, 30, berkata, dia telah berada di Malaysia sejak lapan tahun lalu.

Image from: Motosikal roda tiga dah macam ‘stor bergerak’
Deen (kiri) menerima lebih 20 saman atas kesalahan pelbagai lalu lintas dalam Ops Pewa di sekitar Selayang, hari ini.

Menurutnya, dia menjalankan kerja mengutip besi buruk dan barangan terpakai di sekitar kawasan perumahan Sungai Tua, Kampung Nakhoda dan Laksamana, di sini sejak tiga tahun lalu.

“Sehari dapat sekitar RM50 dan saya buat kerja ini sekejap-sekejap. Ini sahaja kenderaan saya ada. Saya ada isteri dan seorang anak, susah mahu cari makan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ops Pewa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, di sini hari ini.

Dalam operasi sama, seorang lagi warga Myanmar dikenali sebagai Deen, 26, yang menggunakan motosikal untuk menjual buah-buahan dari rumah ke rumah menerima lebih 20 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Antara saman yang dikeluarkan membabitkan kesalahan memandu tanpa lesen yang sah, tidak mengikat tali topi keledar dengan betul serta memandu kenderaan dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh.

Deen berkata, dia telah berada di Malaysia sejak 12 tahun lalu dan bekerja dengan seorang majikan tempatan sejak tiga tahun lalu.

“Saya beli motosikal ni dengan bos RM1,500. Sudah tiga tahun saya kerja jual buah, hari-hari gaji RM60 sahaja, macam mana saya mahu bayar ini banyak (saman),” katanya.

Terdahulu, operasi yang bermula pukul 6.30 pagi dan berakhir pukul 2 petang itu dijalankan bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hasil aduan dan maklumat orang awam.

Operasi tersebut dilaksanakan bagi memberi tumpuan kepada pengesanan pelbagai kesalahan melibatkan kenderaan serta aktiviti warga asing di kawasan berkenaan.

Tinjauan mendapati kebanyakan penunggang motosikal warga asing terbabit hanya mampu terpinga-pinga ketika ditahan dan ada antara mereka sedang melakukan kerja membawa barang, namun memberi pelbagai alasan dan merayu untuk tidak diambil tindakan.- KOSMO! ONLINE

The post Motosikal roda tiga dah macam ‘stor bergerak’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved