
Kota Kinabalu: Ahli Parlimen (MP) Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis menuntut ketelusan terhadap projek Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) bernilai RM650 juta di Lahad Datu, mempersoalkan kenapa ia menelan kos lebih dua kali ganda berbanding projek serupa di Semenanjung walaupun mempunyai kapasiti dan kontraktor yang sama.
Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen, Munirah berkata jurang kos yang besar itu amat mengejutkan dan mendesak Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Sabah Electricity memberikan penjelasan terperinci.
“Saya dengar harga untuk projek BESS Sabah bernilai RM650 juta. Tetapi di Semenanjung hanya RM300 juta. Yang pelik, kapasitinya sama dan kontraktornya pun sama. Pertama, betul atau tidak? Kedua, apa justifikasi teknikal dan kewangan di sebalik harga dan keputusan ini?”
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Kemudahan BESS di Lahad Datu, yang terletak di pantai timur Sabah, digambarkan sebagai salah satu sistem penyimpanan tenaga terbesar di Asia Tenggara dan berperanan menstabilkan bekalan elektrik di kawasan tersebut.
Namun, menurut Munirah, kepentingan strategik projek itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup persoalan kewangan yang meragukan.
Dalam pada itu, Munirah menyifatkan RMK13 sebagai tidak adil kerana terus meminggirkan Sabah dan Sarawak.
“Selepas 12 kali pembentangan Rancangan Malaysia, Kerajaan dilihat belum mahu menumpukan pembangunan secara khusus di wilayah Borneo. Lihat sahaja dalam dokumen RMK-13 ini, daripada empat tonggak yang disenaraikan, tiada satu pun yang menyentuh berkenaan kemakmuran wilayah Borneo secara khusus.
“Adakah negara akan bankrap sekiranya kerajaan membuat keputusan agar separuh daripada peruntukan disalurkan untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak untuk tempoh lima tahun ke hadapan ini? Hanya untuk kali ini, lima tahun ini sahaja, kenapa tidak boleh pertimbangkan?”
Munirah berkata kedua-dua negeri Borneo telah sekian lama menyumbang kepada ekonomi negara melalui hasil minyak dan gas, namun terus jauh tertinggal dari segi infrastruktur asas, penjagaan kesihatan, pendidikan dan tahap pendapatan.
“Kita sering dengar tentang potensi Borneo, tetapi hakikatnya kami sudah lama menyumbang. Kini tiba masanya ada kehendak politik sebenar untuk tutup jurang pembangunan ini.”
Dalam isu kesihatan, Munirah memberi amaran sistem kesihatan di Sabah hampir lumpuh disebabkan kekurangan tenaga kerja, kemudahan yang daif serta projek yang tertangguh.
“Apa jadi dengan hospital baharu di Kota Belud? Klinik di Mantanani? Setiap kali ada alasan. Orang kampung menderita, doktor terbeban, jururawat tidak cukup — dan kita masih menunggu.”
Beliau mengingatkan Parlimen bahawa isu kekurangan doktor di Sabah bukan baharu malah sudah lama berlarutan sebelum isu doktor kontrak menjadi tumpuan nasional.
“Kami sudah lama suarakan. Pandemik hanya membuktikan jurang antara Sabah dan Semenanjung memang sangat besar.”
Dalam sektor pendidikan, Munirah menyokong peruntukan RM67 bilion dan langkah kerajaan mewajibkan prasekolah, namun menegaskan bahawa membina sekolah sahaja tidak mencukupi.
“Sekolah mesti ada air, jalan, elektrik dan internet. Kalau tidak, apa gunanya? Sekadar bangunan yang tak boleh diakses.”
Beliau turut mempersoalkan perancang pusat yang terus menggunakan model pembangunan seperti Sekinchan untuk dibandingkan dengan Sabah.
“Sekinchan dibangunkan secara terancang. Kota Belud berkembang secara organik, kampung demi kampung, generasi ke generasi. Sistem pengairan kita harus mencerminkan realiti itu.”
Munirah menggesa agar sistem pengairan berasaskan paip dibina di kawasan berbukit di Kota Belud, serta menuntut pampasan segera untuk petani di Piasau Sumpingon yang gagal menanam padi selama tujuh musim berturut-turut akibat projek pengairan yang tidak dirancang dengan baik.
“Tiada siapa pun rujuk petani. Projek itu mengganggu bekalan air mereka, dan sekarang mereka hilang punca pendapatan. Kelaparan tidak boleh ditangguhkan. Itu satu-satunya sumber rezeki mereka — sudah hilang bertahun.”
Beliau berkata kerajaan bukan sahaja perlu membayar pampasan, tetapi juga membantu memulihkan semula kawasan tanaman yang kini telah terbiar dan dipenuhi semak.
Menyentuh sektor perikanan, Munirah mencadangkan agar Kota Belud dibangunkan sebagai hab pendaratan ikan laut dalam, menggunakan pelabuhan lama Ranko dan akses Lebuhraya Pan Borneo — namun berkata usaha itu terhalang oleh muara Sungai Abai yang cetek.
“Saya sudah berkali-kali cakap mengenai hal ini di parlimen dan juga melalui beberapa surat yang saya hantar ke kementerian.”
“Yang terjadi sekarang, hulu sungai lagi dalam dari muara. Yang perlu dikorek ini Tuan yang Dipertua, muara, bukan hulu sungai. Yang perlu dikasi selamat ini nelayan, orang kampung, bukan tu pasir.”
Beliau turut mengulas janji kerajaan untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, namun memberi amaran agar saiz dan kualiti rumah tidak dikorbankan demi kuantiti.
“Saya tidak mahu negara kita pada akhirnya menjadi seperti Hong Kong, rakyatnya hidup dalam ruang yang kecil, sempit, seperti reban ayam.”


