MPay peroleh lesen Labuan FSA, luaskan jangkauan Fintech ke pasaran global

04/06/2025 - 18:29
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 4 Jun – ManagePay Systems Berhad (MPay), mendapat kelulusan Labuan Financial Services Authority (Labuan FSA) untuk menubuhkan anak syarikat, MPay SPV Labuan Ltd. (MPay Labuan), yang akan beroperasi dalam perniagaan Token Kredit dan Perkhidmatan Kewangan Digital serta sistem pembayaran khusus bagi pasaran antarabangsa.
Dengan lesen Labuan FSA, MPay Labuan beroperasi di Labuan International Business and Financial Centre (Labuan IBFC), yang terkenal dengan rangka kerja pengawalseliaan kukuh serta kedudukan strategik di Asia.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas ManagePay Systems Berhad , Datuk Chew Chee Seng berkata, pencapaian lesen Labuan FSA ini adalah langkah penting dalam misi MPay menjadi penyedia fintech global.
"Lesen ini membolehkan kami memperluaskan perkhidmatan ke pasaran baru, melayani pelanggan lebih luas dengan platform yang selamat, dipercayai, dan mesra pengguna," katanya dalam satu kenyataan.
Langkah itu membolehkan MPay menawarkan rumusan kewangan inovatif, termasuk dompet mudah alih pelbagai mata wang dan kad prabayar Mastercard, kepada pelanggan di rantau ASEAN dan seluruh dunia.
Sebagai Operator Sistem Pembayaran berlesen, MPay Labuan turut diberi kuasa memproses transaksi dalam mata wang Dolar Amerika Syarikat (ASD), memudahkan perniagaan e-dagang menerima pembayaran asing dengan cekap.
Persekitaran kondusif Labuan IBFC untuk perkhidmatan kewangan digital, termasuk kadar cukai yang menarik dan pematuhan piawaian antarabangsa menjadikan lokasi itu pilihan strategik bagi pengembangan MPay.
MPay Labuan dibenarkan mengeluarkan dompet mudah alih dan kad prabayar Mastercard tanpa had saiz dompet yang ditetapkan, memberikan fleksibiliti tinggi kepada pengguna menguruskan dana mereka.
Lesen tersebut membolehkan MPay Labuan menyediakan perkhidmatan seperti penghantaran wang rentas sempadan, rumusan pembayaran digital, dan alat pengurusan kewangan yang disesuaikan untuk keperluan pelanggan antarabangsa.
MPay mensasarkan peningkatan inklusi kewangan dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital di pelbagai wilayah seluruh dunia.- DagangNews.com
standard
