
KUALA LUMPUR - Sebanyak 164 pelayan dipercayai digunakan untuk kegiatan melombong Bitcoin secara haram disita pihak berkuasa dalam operasi di empat premis, melibatkan dua lokasi berasingan di Sabak Bernam.
Operasi bersepadu itu dijalankan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), bermula jam 5 petang semalam dan berakhir sekitar tengah malam tadi.
Menurut MDSB, operasi berkenaan diketuai Timbalan Yang Dipertua dengan kekuatan 11 pegawai penguat kuasa, sembilan pegawai teknikal TNB serta 15 kakitangan teknikal.
“Sebanyak empat premis diperiksa membabitkan kawasan Sungai Besar dan bandar Sabak Bernam, hasilnya 164 pelayan telah disita,” menurut kenyataan MDSB hari ini.
Pemeriksaan mendapati premis terbabit dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti melombong Bitcoin secara haram, selain disyaki melakukan penyalahgunaan bekalan elektrik.
MDSB berkata, operasi itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa bagi membanteras kesalahan berkaitan tenaga serta kegiatan pelaburan digital yang dijalankan tanpa lesen.
Majlis itu memberi amaran, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana premis yang didapati terbabit dalam kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram atau mencuri bekalan elektrik.
Dalam pada itu, orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki kewujudan premis yang digunakan untuk menjalankan aktiviti melanggar undang-undang. - Getaran, 8 Ogos 2026






