
SHAH ALAM, 26 OKT: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyerbu kilang barangan kitar semula plastik tanpa lesen serta tiga premis mesin Bitcoin di Taman Perindustrian Teknologi BB, Bestari Jaya 21 Oktober lalu.
MPKS memaklumkan, operasi bersepadu itu melibatkan 58 pegawai dan anggota pelbagai jabatan MPKS serta agensi berkaitan, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta Pengurusan Air Selangor.
“Operasi ini hasil aduan awam serta pemantauan anggota melibatkan premis barangan kitar semula plastik serta tiga premis pengoperasian dan penyimpanan mesin Bitcoin yang dikesan mempunyai isu usikan meter elektrik.
“Hasil tindakan penguatkuasaan telah diambil melibatkan penutupan empat premis, pengeluaran 11 kompaun dan 10 notis, serta empat sitaan berinventori. Sebanyak 390 unit mesin Bitcoin turut disita, selain peralatan dan barangan lain yang berkaitan,” katanya menerusi Facebook.
MPKS menambah, kompaun yang dikeluarkan melibatkan kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta beberapa kesalahan lain.
Selain itu katanya, tindakan susulan turut melibatkan semakan pematuhan syarat lesen perniagaan, kawalan bangunan, kebersihan premis, kebenaran merancang, syarat nyata tanah serta pemeriksaan dan tindakan berkaitan meter elektrik dan bekalan air oleh agensi berkaitan.
“MPKS akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, di samping menangani aktiviti perniagaan tanpa kebenaran dalam kawasan pentadbiran MPKS,” katanya.


