MPKS siasat dakwaan penyelewengan dana strata RM178,000 di Saujana Utama

19 Aug 2026 • 1:33 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MPKS siasat dakwaan penyelewengan dana strata RM178,000 di Saujana Utama

SHAH ALAM, 19 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyiasat dakwaan penyelewengan dana penyelenggaraan dianggarkan berjumlah RM178,000 membabitkan sebuah skim strata di Saujana Utama, Sungai Buloh.

MPKS memaklumkan beberapa dokumen berkaitan pengurusan dan kewangan telah dirampas selepas pemeriksaan awal mengesan unsur disyaki penyelewengan.

"Hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur disyaki penyelewengan dana penyelenggaraan yang dianggarkan berjumlah RM178,000.

"Susulan itu, beberapa dokumen berkaitan pengurusan dan kewangan telah dirampas bagi membantu siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Operasi pemeriksaan dan penggeledahan tanpa waran itu dijalankan Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPKS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perumahan Negara dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 18 Ogos.

Operasi bermula jam 10 pagi di pejabat pengurusan skim berkenaan bagi mendapatkan dokumen dan maklumat berkaitan pengurusan, pentadbiran serta kewangan untuk siasatan di bawah Seksyen 125 Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Image from: MPKS siasat dakwaan penyelewengan dana strata RM178,000 di Saujana Utama
Pegawai Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memeriksa dokumen ketika menjalankan siasatan di pejabat pengurusan skim strata Saujana Utama pada 18 Ogos 2026. Foto Facebook MPKS

MPKS berkata pemeriksaan dan penggeledahan tanpa waran berkenaan dilaksanakan mengikut kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 127 Akta Pengurusan Strata 2013.

Menurutnya, semakan turut mendapati daripada sembilan anggota Jawatankuasa Perbadanan Pengurusan (MC) yang dilantik pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-10, empat tidak lagi layak mengikut Perenggan 2, Jadual Kedua Akta Pengurusan Strata 2013, manakala tiga lagi telah meletakkan jawatan.

"Keadaan itu menyebabkan hanya dua anggota jawatankuasa kekal, sekali gus tidak memenuhi syarat minimum tiga anggota untuk membentuk MC.

"Sehubungan itu, COB MPKS telah melantik ejen pengurusan di bawah Seksyen 86 Akta Pengurusan Strata 2013 bagi memastikan urusan pentadbiran, pengurusan dan penyelenggaraan skim strata berkenaan dapat diteruskan dengan teratur sehingga AGM seterusnya diadakan dan MC yang baharu dibentuk," katanya.

MPKS berkata siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 125 dan peruntukan berkaitan Akta Pengurusan Strata 2013.

"Sekiranya hasil siasatan menemui unsur kesalahan jenayah di luar bidang kuasa COB MPKS, maklumat akan disalurkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved