KULAI – Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) meneruskan tradisi tahunan ibadah korban sempena Aidiladha dengan pelbagai pengisian kebajikan termasuk penyampaian kurniaan daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail kepada anak-anak yatim di daerah ini.
Yang di-Pertua MPKu, Mohd Hafiz Aliman berkata, program berkenaan bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah menjadi platform mengukuhkan semangat kebersamaan serta membantu golongan memerlukan.
Selain itu, MPKu turut menyerahkan sumbangan bingkisan barangan keperluan kepada 40 anak yatim.
“Menjunjung kasih atas keprihatinan Tunku Mahkota Ismail atas kurniaan sumbangan kepada 222 anak yatim.
"Kali ini agihan sumbangan dilakukan di tiga lokasi berbeza bagi memudahkan penyampaian bantuan wan tunai dan bungkusan daging kepada penerima.
"Lokasi utama di bangunan MPKu, manakala dua lagi di Dewan Raya Kampung Melayu Kulai dan Kompleks Penghulu Sedenak diwakili Datuk Hajah Haspalela Hassan dan Mohd Kalam Ulum Morsin," katanya.
**media[3534873]**
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Kurniaan Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor dan Sumbangan Daging Korban sempena Program Ibadah Korban Majlis Perbandaran Kulai pada Jumaat.
Menurut Mohd Hafiz, program turut melibatkan ibadah korban membabitkan 14 ekor lembu dengan penyertaan kira-kira 150 kakitangan MPKu serta 12 Ahli Majlis MPKu yang diketuai Ketua Ahli Majlis, Fadil Misnan dan Setiausaha MPKu, Azmee Awang.
Katanya, sambutan diterima amat menggalakkan apabila kakitangan bergotong-royong melapah, memotong, menimbang dan membungkus daging korban untuk diagihkan kepada penerima.
“Mereka mengambil masa satu hingga dua jam untuk bersama-sama bergotong-royong menguruskan daging korban bagi memudahkan proses pengagihan,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan akan diteruskan pada masa akan datang memandangkan ia bukan sahaja mengeratkan hubungan dalam kalangan warga kerja MPKu, malah memberi manfaat kepada golongan memerlukan khususnya anak-anak yatim.






