
PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan isteri, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor hari ini melangsungkan Majlis Berandam Surai puteri mereka yang berlangsung penuh adat dan tradisi di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Majlis berkenaan diadakan bagi meraikan kelahiran anakanda kelima dan puteri ketiga pasangan diraja itu, Tunku Khadeeja Khayra Iskandariah.
Suasana majlis bertambah istimewa dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bersama keluarga Diraja Johor.

Turut berangkat memeriahkan istiadat ialah Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail, Tunku Idris Iskandar Al-Haj ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim bersama suami, Datuk Dennis Muhammad Abdullah serta Tunku Besar Zabedah.

Upacara potong jambul dimulakan oleh Seri Paduka Baginda berdua sebelum diteruskan oleh kerabat diraja lain sambil diiringi selawat ke atas nabi yang diketuai Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Terdahulu, Pengumuman Diraja oleh Jumaah Majlis Diraja Johor berkongsi kelahiran Tunku Khadeeja Khayra yang diputerakan pada 5 April di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Tunku Mahkota Ismail dan suri hatinya, Che’ Puan Mahkota yang berkahwin pada 24 Oktober 2014 memiliki empat cahaya mata lain iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah, 10, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, 9, Tunku Abu Bakar Ibrahim, 7, dan Tunku Zahrah Zarith Aziyah, 5.
