MPPN Sokong Pindaan Akta Sewa Beli 2026 Perkukuh Hak Pengguna

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 3:23 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, yang disifatkan sebagai reformasi penting dalam memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya dalam sektor kredit pengguna di Malaysia.

Pengerusinya, Mohd Khair Ngadiren berkata, pindaan tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna melalui pemansuhan penggunaan kadar faedah tetap sama rata (flat rate) dan Peraturan 78 (Rule of 78).

Menurutnya, kedua-dua kaedah itu akan digantikan dengan Kadar Faedah Efektif (Effective Interest Rate) dan Kaedah Pengurangan Baki (Reducing Balance Method) yang lebih telus serta adil kepada pengguna.

Pendekatan baharu ini akan memastikan pengiraan faedah yang lebih telus dan mencerminkan baki pinjaman sebenar, khususnya bagi pengguna yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available

Beliau berkata, MPPN turut menyokong usaha memodenkan urusan perjanjian sewa beli melalui penggunaan teknologi seperti tandatangan digital dan tandatangan elektronik yang dijangka meningkatkan kecekapan proses perjanjian serta mengurangkan risiko penipuan menerusi proses pengesahan identiti peminjam.

Dalam pada itu, Mohd Khair berkata, MPPN berpandangan penguatkuasaan akta tersebut wajar dipertimbangkan lebih awal sekiranya keadaan industri mengizinkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat reformasi itu dengan lebih segera.

image is not available

Foto arkib: Getty Images

Bagaimanapun, katanya, tempoh peralihan kepada pihak industri tetap diperlukan bagi membolehkan mereka menyesuaikan sistem, dokumentasi serta proses operasi selaras dengan keperluan baharu yang diperkenalkan.

Dalam perkembangan berkaitan, MPPN turut mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung konflik di Timur Tengah yang melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.

Menurut Mohd Khair, ketidaktentuan geopolitik itu berpotensi memberi tekanan kepada harga komoditi global, rantaian bekalan serta kos sara hidup, sekali gus memberi kesan kepada kesejahteraan pengguna.

image is not available

Foto arkib: Bernama

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan pemantauan harga serta amalan perniagaan yang beretika, selain menyeru pengguna supaya lebih peka terhadap hak mereka dan berhemah dalam membuat keputusan perbelanjaan.

Selaras dengan tema Hari Pengguna Kebangsaan 2026, “Suara Kita, Kuasa Kita”, beliau berkata, pengguna perlu memainkan peranan aktif dalam memperkukuh budaya kepenggunaan yang bertanggungjawab dan beretika.

MPPN komited untuk terus memainkan peranan sebagai badan penasihat kepada kerajaan dalam memperkukuh dasar serta perundangan berkaitan kepenggunaan bagi memastikan hak dan kepentingan pengguna sentiasa terpelihara,” ujarnya.

The post MPPN Sokong Pindaan Akta Sewa Beli 2026 Perkukuh Hak Pengguna appeared first on Borak Daily.