SUNGAI PETANI - Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah menyita 16 kenderaan rosak dan tersadai yang ditinggalkan dalam tempoh lama sehingga menghalang lalu lintas serta mencacatkan pemandangan.
Ketua Bahagian Strike Force Jabatan Penguatkuasaan MPSPK, Shahrin Yusoff berkata, operasi dijalankan di beberapa lokasi termasuk Taipan Square, Taman Ria Jaya, Taman Keladi, Taman Seroja, Taman Seraya Emas, Bandar Seri Astana, Taman Ria dan Taman Kempas.
Menurutnya, operasi bermula jam 8.30 pagi Isnin itu berakhir jam 4.20 petang selepas semua kenderaan terbabit disita.
"Operasi dilaksanakan pegawai bersama 11 Penguatkuasa Strike Force MPSPK ke atas kenderaan yang ditinggalkan sehingga menyebabkan halangan dan mencacatkan pemandangan," katanya.
**media[3479724]**
Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 46(1)(e) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) iaitu meninggalkan atau membiarkan apa-apa kenderaan sama ada kereta buruk atau tersadai sehingga menyebabkan halangan.
Menurutnya, berdasarkan seksyen tersebut, pihak berkuasa tempatan berhak memindah, menyita atau melupuskan kenderaan terbiar tersebut.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab terhadap harta benda masing-masing bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.



