MRCA mahu Belanjawan 2027 wujudkan persaingan adil peruncit tempatan dengan peniaga online asing 

LocalBusiness & Finance
14 Sep 2026 • 5:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MRCA mahu Belanjawan 2027 wujudkan persaingan adil peruncit tempatan dengan peniaga online asing  Image from: MRCA mahu Belanjawan 2027 wujudkan persaingan adil peruncit tempatan dengan peniaga online asing  hamden14/09/2026 - 17:01 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Sept - Persatuan Rangkaian Peruncitan Malaysia (MRCA) menggesa ketidakseimbangan persaingan antara peruncit tempatan dengan platform e-dagang asing diatasi dalam Belanjawan 2027.

 

Selain itu persatuan peruncit itu juga meminta kerajaan mengambil langkah mengurangkan peningkatan kos operasi perniagaan.

 

"Menjelang pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Oktober, MRCA menggesa penguatkuasaan cukai jualan ke atas barangan bernilai rendah diperkukuh serta layanan sama rata diberikan kepada penjual dalam talian rentas sempadan," katanya dalam kenyataan. 

 

Menurut MRCA, platform asing yang menawarkan barangan pada harga amat rendah memberi tekanan kepada peruncit tempatan, manakala perbezaan dalam kewajipan cukai dan pematuhan berpotensi menjejaskan asas cukai Malaysia.

 

Persatuan itu turut menggesa tindakan lebih tegas terhadap penjualan barangan tiruan dan barangan tidak menepati piawaian dalam talian, susulan kebimbangan berkaitan keselamatan pengguna, kualiti produk serta perlindungan harta intelek.

 

Bagi menangani kos menjalankan perniagaan, MRCA mencadangkan pengecualian cukai perkhidmatan sebanyak 6% ke atas bekalan utiliti yang dibayar oleh penyewa komersial melalui pengurusan pusat beli-belah.

 

Katanya, pengenaan cukai ke atas bayaran utiliti yang hanya disalurkan kepada penyewa mewujudkan beban kos tambahan kepada perniagaan.

 

MRCA turut mencadangkan pemberian rebat cukai atau potongan berganda kepada peruncit dan pengendali hartanah komersial yang membuat pelaburan dalam penambahbaikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), khususnya membabitkan aspek keselamatan kebakaran serta infrastruktur.

 

Pada masa sama, persatuan itu mahu cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan pembinaan dan pengubahsuaian dikurangkan kepada 3%, dengan alasan bahan binaan sudah dikenakan cukai.

 

MRCA juga mengulangi gesaan supaya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula secara berperingkat, menggunakan pendekatan berfasa pada selang lima tahun bagi memberi masa kepada perniagaan dan pengguna menyesuaikan diri.

 

Dalam usaha menyokong permintaan domestik, MRCA menggesa cukai jualan ke atas barangan keluaran tempatan dimansuhkan.

 

Ia turut mahu pelepasan cukai pelancongan domestik sebanyak RM1,000 dilanjutkan sehingga 2027 bagi meliputi penginapan hotel serta perbelanjaan runcit terpilih.

 

MRCA berkata persekitaran dasar dan percukaian yang lebih mudah dijangka membantu mengurangkan kos pematuhan, menyokong pelaburan serta memperkukuh daya saing peruncit Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved