MRCA, PPK Malaysia gesa kerajaan laksana SST secara berperingkat dalam Bajet 2026

LocalBusiness & Finance
22 Sep 2025 • 10:54 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MRCA, PPK Malaysia gesa kerajaan laksana SST secara berperingkat dalam Bajet 2026

image is not available

22/09/2025 - 10:54

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Sept – Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) dan Persatuan Pengurusan Kompleks Beli Belah Malaysia (PPK) menggesa kerajaan meneliti semula pelaksanaan Cukai Perkhidmatan (SST) 8% ke atas sewaan dan pajakan hartanah komersial dalam Bajet 2026.

Kedua-dua persatuan itu yang mewakili lebih 550 peruncit dengan 40,000 cawangan serta 733 pusat beli-belah mencadangkan kadar SST dikurangkan kepada 4% bermula tahun depan dan ditingkatkan secara berperingkat kepada 8% dalam tempoh 10 tahun.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua persatuan itu berkata, pelaksanaan yang dilakukan secara berperingkat penting untuk memberi ruang kepada perniagaan dan pengguna menyesuaikan diri, malah dalam masa yang sama membolehkan kerajaan mencapai matlamat fiskal.

“Selain itu, kadar SST ke atas kerja pembinaan dan pengubahsuaian perlu dikurangkan daripada 6% kepada 3%, memandangkan kerja pengubahsuaian setiap dua hingga tiga tahun adalah syarat wajib di bawah perjanjian sewa dan antara kos terbesar peruncit,” kata kenyataan itu.

Menurut kajian PPK Malaysia, peruncit dijangka menanggung tambahan cukai RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion setahun berdasarkan purata sewaan RM7 hingga RM8 sekaki persegi sebulan dengan jumlah keluasan boleh disewa bersih sebanyak 196.2 juta kaki persegi di seluruh negara.

Beban cukai itu disifatkan hampir dua kali ganda lebih cepat berbanding kenaikan sewa biasa sekitar 5% setiap dua hingga tiga tahun.

“Ini akan menimbulkan “kejutan kos” yang boleh melemahkan daya saing pusat beli-belah Malaysia.

“Tanpa pelaksanaan dasar yang dilakukan secara berhati-hati, sektor peruncitan sebagai salah satu pemacu utama ekonomi negara boleh terjejas,” katanya.

image is not available

Bagi peruncit, SST 8% yang akan dilaksanakan kelak menjadikan situasi mereka semakin terhimpit kerana beberapa faktor lain termasuk peningkatan kos pekerja.

“Antaranya kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sejak Februari lalu, caruman KWSP wajib bagi pekerja asing bermula Oktober 2025, serta kenaikan siling gaji EIS/PERKESO daripada RM5,000 kepada RM6,000 sejak tahun lepas.

“Di samping itu, langkah tarif baharu Amerika Syarikat ke atas beberapa barangan import dijangka meningkatkan kos barangan seperti pakaian, bahan makanan dan elektronik.

“Gabungan faktor ini menekan margin keuntungan, melambatkan rancangan pengembangan dan berpotensi mengurangkan sumbangan cukai korporat dalam jangka panjang,” katanya.

Persatuan bimbang kos tambahan itu akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna, sekali gus meningkatkan harga barangan runcit.

“SST ke atas barangan import tertentu seperti salmon, ikan kod dan ‘king crab’ juga dijangka menambah tekanan terhadap bajet isi rumah serta melemahkan sentimen pengguna,” katanya.

Kedua-dua persatuan itu menegaskan cadangan tersebut tidak bermaksud mereka membantah, malah menyokong penuh terhadap matlamat fiskal kerajaan.

“Namun kami sangat berharap pelaksanaan dasar cukai baharu mesti selaras dengan visi Madani yang menekankan kemampanan, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat.

“Pendekatan berperingkat dalam Bajet 2026 bukan sahaja akan melindungi daya saing sektor peruncitan, tetapi juga menjaga pekerjaan, kuasa beli pengguna serta memastikan pertumbuhan dicapai secara adil dan mampan,” tambah kenyataan itu.- DagangNews.com

standard