amree07/08/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos – Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) diyakini berada di landasan kukuh untuk memperoleh lebih banyak kontrak baharu berjumlah RM10 bilion pada separuh kedua 2026.
Menurut penganalisis, unjuran positif tersebut sekali gus dijangka mengukuhkan prospek pertumbuhan kumpulan berkenaan ketika perbelanjaan pembangunan infrastruktur negara dilihat kembali rancak.
Pemangkin itu disokong oleh buku tender merangkumi pelbagai kontrak berskala besar bagi projek pengangkutan, bekalan air, tebatan banjir, penghantaran tenaga dan infrastruktur perindustrian.
"Terbaharu, MRCB meraih projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang menerusi usaha sama (JV) 90:10 dengan nilai kontrak kepada syarikat itu sahaja ialah RM2.73 bilion," kata MBSB Research.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan sumbangan kepada keuntungan pada tahun kewangan 2026 masih sederhana kerana projek tersebut belum memasuki fasa reka bentuk dan kejuruteraan.
Ujarnya, pengiktirafan hasil yang lebih bermakna daripada projek berkenaan dijangka hanya bermula pada separuh pertama 2027 apabila kerja pembinaan memasuki fasa pelaksanaan secara lebih aktif.

Kemenangan kontrak itu ujar MBSB Research, membolehkan MRCB mencapai sasaran perolehan tender baharu RM2 bilion bagi FY26, walaupun rendah berbanding RM5.5 bilion pernah diperoleh pada FY25.
"Susulan itu, buku tempahan luaran naik daripada RM18.1 bilion kepada RM20.8 bilion, manakala nilai kerja belum dibilkan bertambah daripada RM5.6 bilion kepada RM8.3 bilion," tambahnya.
Justeru, firma itu mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) 40 sen serta menaikkan unjuran keuntungan FY27 sebanyak 5%, didorong oleh potensi aliran kontrak baharu yang kekal kukuh.
Sementara itu, RHB Research turut mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham MRCB dan TP 51 sen yang membayangkan potensi kenaikan 50% daripada harga semasa, selain anggaran hasil dividen sekitar 3%.
Firma itu berpendapat penilaian sahamnya masih menarik memandangkan ia diniagakan hanya 0.3 kali nilai buku (P/BV) unjuran FY27, iaitu kira-kira satu sisihan piawai di bawah purata sejarah lima tahun.
"Kontrak LRT Pulau Pinang merupakan kemenangan projek rel pertamanya bagi FY26 dengan margin 5%, selepas ia memperoleh kontrak lima stesen LRT3 yang dipulihkan pada Februari 2025," jelasnya.
MRCB kata RHB Research, masih ada buku tender aktif sekitar RM7 bilion dengan ia mengekalkan unjuran hasil serta optimis memperoleh banyak urus niaga yang berkaitan pusat data (DC). - DagangNews.com






