
PETALING JAYA: Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) telah memperoleh kontrak RM3.028 bilion untuk pakej sistem kereta api projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, MRCB berkata, usaha sama dengan Theta Edge Bhd, yang dikenali sebagai MRCB-Theta Edge JV, telah dilantik sebagai kontraktor siap guna untuk kejuruteraan, perolehan, reka bentuk, pembinaan, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem kereta api di bawah Pakej Kontrak Sistem Turnkey (STC).
“Pelantikan itu akan membolehkan reka bentuk terperinci sistem rel diteruskan secara selari dengan program pembinaan sivil yang sedang berjalan, sekali gus memastikan kedua-dua komponen kekal sejajar bagi mencapai keseluruhan sasaran pelaksanaan projek.
“STC tersebut merangkumi tujuh pakej utama sistem rel iaitu kereta api elektrik dan peralatan depoh, sistem persinyalan dan kawalan kereta api berserta pintu platform automatik, kerja-kerja landasan, rel konduktor dan kenderaan penyelenggaraan dan sistem bekalan dan pengagihan kuasa.
“Ia turut merangkumi sistem SCADA rel dan Sistem Pengurusan Penyelenggaraan Berkomputer, sistem telekomunikasi dan teknologi maklumat dan sistem kutipan tambang automatik,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, proses tender bagi pakej Kontrak Utama Sivil 2 (CMC2) yang merangkumi lanjutan jajaran dari KOMTAR ke Penang Sentral turut berjalan seperti dirancang dengan penilaian tender kini sedang dijalankan.
“MRT Corp menyasarkan kontrak berkenaan dianugerahkan pada November 2026. Kontraktor CMC1 juga terus menganugerahkan pelbagai pakej subkontrak bagi pembinaan stesen dan kerja-kerja berkaitan susulan perkembangan aktiviti pembinaan di seluruh projek.
“Selain itu, penyertaan bumiputera di bawah pakej CMC1 kini melebihi 20 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak.
“Ini mencerminkan komitmen berterusan projek dalam memperkukuh penyertaan bumiputera serta membangunkan keupayaan industri tempatan sepanjang pelaksanaan projek,” katanya.
Bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan dimulakan secara berperingkat, MRT Corp telah mengeluarkan lukisan rujukan pembinaan kepada kontraktor sementara reka bentuk terperinci terus dimuktamadkan.
Pendekatan reka bentuk dan pembinaan secara selari itu membolehkan kerja pembinaan diteruskan tanpa perlu menunggu keseluruhan pakej reka bentuk disiapkan.
Hasilnya, kerja pembinaan kini telah mencapai 45 kepala cerucuk dan 32 tiang jejambat, manakala aktiviti pembinaan sedang dijalankan di 14 daripada keseluruhan 19 seksyen pembinaan yang dirancang di bawah pakej CMC1.
Proses pengambilan tanah bagi projek itu menunjukkan perkembangan baik menerusi kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi berkaitan.
Sehingga kini, sebanyak 93 peratus daripada keseluruhan keluasan tanah yang diperlukan bagi pakej CMC1 telah disediakan untuk aktiviti pembinaan. – UTUSAN
The post MRCB raih kontrak sistem rel LRT di Pulau Pinang bernilai RM3 bilion appeared first on Utusan Malaysia.





