amree07/08/2026 - 15:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Ogos – AWC Berhad memperkukuhkan kedudukan dalam perkembangan pesat segmen pembangunan pusat data (DC), termasuk kontrak ketiga bernilai RM23.1 juta yang diraih 6 Ogos 2026.
Malacca Securities berkata, kemenangan tender baharu itu mengukuhkan lagi rekod prestasi dalam projek prasarana digital yang berkeperluan teknikal tinggi, sekali gus meningkatkan prospek jangka panjang.
Syarikat itu namun berdepan cabaran untuk mengekalkan momentum perolehan kontrak seterusnya dalam pasaran yang semakin kompetitif bagi memastikan pertumbuhan pendapatan dapat dikekalkan stabil.
"Meskipun anak syarikat AWC hanya sebagai subkontraktor, projek ini yang dijangka siap menjelang Jun 2027 berpotensi menjana prestasi kewangan kumpulan bagi tahun kewangan 2027," kata firma itu.
Menurut Malacca Securities, kontrak ini merupakan projek DC ketiga berjaya diperoleh dalam masa 12 bulan, mencerminkan keupayaan syarikat meraih kepercayaan pelanggan sektor infrastruktur digital.
Ujarnya, jika tidak termasuk tender itu, buku tempahan belum siap setakat akhir Mac 2026 berjumlah RM865 juta, dan menyediakan keterlihatan pendapatan kukuh bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

Berdasarkan andaian margin keuntungan bersih AWC antara 5% hingga 8%, kontrak tersebut berpotensi menyumbang keuntungan bersih sekitar RM1.2 juta hingga RM1.8 juta sepanjang tempoh pelaksanaannya.
"Kemenangan kontrak ini membuktikannya diiktiraf sebagai rakan dipercayai bagi projek kritikal memerlukan kepakaran teknikal tinggi, selaras peningkatan pelaburan DC," kata Malacca Securities
Bagaimanapun firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kerana kontrak tersebut sudah pun diambil kira dalam andaian penambahan buku tempahan bagi FY27.
Sebaliknya, ia menaikkan saranan terhadap saham AWC kepada 'beli' daripada 'pegang' manakala harga sasaran (TP) untuk tempoh 12 bulan yang akan datang pula diunjur kekal sebanyak 59 sen sesaham.
Penilaian tersebut ujar Malacca Securities, dibuat selepas harga saham syarikat didapati susut lebih awal sebelum pengumuman kontrak, sekali gus mewujudkan penilaian yang dilihat lebih menarik.
"Kami percaya prospek syarikat kekal positif disokong pertumbuhan berterusan sektor DC di Malaysia dan rantau ini, namun bergantung kemampuan mengekalkan kadar kemenangan kontrak baharu," jelasnya.
Pada masa sama, AWC perlu memanfaatkan permintaan terhadap infrastruktur digital yang akan menjadi faktor utama bagi menentukan prestasi pendapatan dan penilaian sahamnya. - DagangNews.com





