MTEN perlu diaktifkan segera tangani krisis ekonomi - Muhyiddin

LocalPolitics
27 Mar 2026 • 5:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
MUHYIDDIN

SHAH ALAM - Kerajaan digesa segera mengaktifkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berstatus krisis bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa susulan ketidakstabilan geopolitik di Asia Barat.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MTEN perlu bersidang secara harian dengan penglibatan sektor awam dan swasta bagi memantau perkembangan global serta menyusun tindak balas yang pantas dan bersepadu.

Beliau berkata, pendekatan tersebut pernah dilaksanakan ketika krisis ekonomi 1997–1998, 2008 serta pandemik COVID-19 dan terbukti berkesan dalam mengurus tekanan ekonomi negara.

"Pakej rangsangan perlu difikirkan dan dilaksanakan untuk melindungi sektor-sektor kritikal dan pemain industri, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya kesan terhadap rakyat dan ekonomi dapat diminimumkan.

"Apa yang diperlukan rakyat adalah hala tuju ekonomi yang jelas iaitu strategi menangani inflasi, jaminan bekalan makanan dan tenaga, serta perlindungan terhadap pendapatan dan kelangsungan perniagaan tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Muhyiddin, kepimpinan negara perlu bertindak tegas dan memberikan kejelasan dalam situasi genting ketika ini.

"Kegagalan berbuat demikian hanya akan menghakis keyakinan rakyat dan pasaran terhadap keupayaan kerajaan mengurus krisis ini," ujarnya lagi.

Beliau berpandangan, perutusan khas Perdana Menteri pada Khamis mengesahkan kebimbangan rakyat bahawa keadaan ekonomi semakin mencabar susulan ketidakstabilan geopolitik di Asia Barat.

Bagaimanapun, menurutnya, ia gagal memberikan keyakinan bahawa kerajaan mempunyai pelan yang jelas, tersusun dan segera untuk menghadapi kemungkinan kegawatan global.

"Malaysia sebagai ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada risiko kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan dan tekanan inflasi. Persoalannya, adakah kerajaan benar-benar bersedia?" katanya lagi.

Beliau menyifatkan langkah seperti penyelarasan BUDI95 dan kawalan diesel dilihat bersifat pentadbiran semata-mata tanpa menjawab isu asas keterjaminan bekalan tenaga.

Muhyiddin berpandangan rakyat berhak mengetahui tahap sebenar rizab, tempoh ketahanan bekalan serta pelan kontingensi sekiranya berlaku gangguan besar.

"Kenyataan bahawa Malaysia berada dalam keadaan ‘lebih baik’ juga tidak memadai tanpa penjelasan terperinci yang jelas. Malah, usaha membawa pulang kapal minyak dari Iran menimbulkan persoalan baharu mengenai tahap risiko sebenar terhadap bekalan tenaga negara," ujarnya.

Justeru, beliau meminta kerajaan lebih telus berhubung hasil yang diperoleh Petronas susulan kenaikan harga minyak dunia serta jumlah yang boleh disalurkan semula kepada rakyat bagi mengawal kenaikan harga bahan api.

Menurutnya, dakwaan bahawa 90 peratus rakyat tidak terjejas dengan kenaikan harga adalah mengelirukan kerana kesan sebenar melibatkan keseluruhan rantaian bekalan dan peningkatan harga barangan keperluan harian.

"Hakikatnya, 100 peratus rakyat terjejas dengan kenaikan harga minyak. Pendekatan kerajaan yang masih bersifat ‘sedang difikirkan’ amat membimbangkan.

"Dalam krisis, rakyat memerlukan kepastian, garis masa dan tindakan konkrit, bukan sekadar kemungkinan. Kerajaan perlu lebih telus dalam menjelaskan kedudukan sebenar ekonomi negara serta strategi jangka masa pendek, sederhana dan panjang," tambahnya.

Beliau mengingatkan kelewatan hanya akan meningkatkan ketidakpastian pasaran dan menekan kos sara hidup.