MTR wajar jadi penanda aras nasional kualiti TVET

LocalBusiness & Finance
5 Sep 2026 • 7:48 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MTR wajar jadi penanda aras nasional kualiti TVET

PETALING JAYA – Penarafan TVET Malaysia (MTR) wajar dijadikan penanda aras nasional bagi memastikan kualiti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinilai berdasarkan satu standard yang seragam merentas kementerian dan agensi.

Presiden Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P. Sri Ganes berkata, langkah itu penting bagi mewujudkan ukuran kualiti yang lebih konsisten dalam ekosistem TVET negara.

Menurutnya, kepelbagaian kementerian dan agensi yang melaksanakan TVET dengan mekanisme penilaian berbeza menyukarkan perbandingan prestasi program.

“Sehubungan itu, MTR menyediakan satu skala penilaian bersama yang membolehkan institusi TVET awam dan swasta dinilai berdasarkan standard yang seragam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Sri Ganes berkata, penarafan bintang MTR tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada institusi TVET, sebaliknya diterima secara positif sebagai mekanisme untuk membuktikan tahap kualiti dan daya saing institusi berkenaan.

Tambah beliau, penyedia TVET yang belum dinilai wajar menyertai kitaran seterusnya, manakala institusi yang sudah dinilai perlu terus mempertingkatkan kualiti latihan.

Mengulas mengenai langkah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) membuka keputusan rasmi MTR 2026 kepada orang awam menerusi portal MySPIKE, Sri Ganes berkata, keterbukaan berkenaan menjadikan MTR bukan lagi sekadar instrumen penilaian dalaman, sebaliknya berfungsi sebagai rujukan pasaran kepada pelajar, ibu bapa dan industri dalam menentukan pilihan masing-masing.

Beliau mengingatkan ibu bapa dan pelajar supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai anugerah, lencana kecemerlangan atau gelaran ‘institusi terbaik’ yang boleh mengelirukan, sebaliknya menyemak status penarafan rasmi MTR menerusi portal berkenaan sebelum membuat pilihan.

Image from: MTR wajar jadi penanda aras nasional kualiti TVET

Selain itu, Sri Ganes turut menggesa industri menjadikan penarafan berkenaan sebagai antara pertimbangan ketika memilih rakan latihan, menempatkan pelatih, menaja pelajar atau mengambil graduan, khususnya dengan memberi keutamaan kepada program bertaraf lima bintang.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kerajaan, Human Resource Development Corporation (HRD Corp), yayasan negeri, institusi zakat, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penyedia dana lain menjadikan MTR sebagai antara kriteria dalam penyaluran pembiayaan latihan kemahiran

Katanya, langkah itu dapat memastikan dana awam dan kebajikan disalurkan kepada penyedia latihan yang kualitinya disahkan secara bebas, selain menggalakkan institusi yang mempunyai penarafan lebih rendah melakukan penambahbaikan.

Ganes berkata, penarafan itu mempunyai tempoh sah tertentu dan perlu diperoleh semula, sekali gus memastikan institusi tidak boleh bergantung kepada pencapaian terdahulu semata-mata.

Sri Ganes yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SG TVET Group Berhad berkata, institusi itu juga menyertai kitaran MTR membuktikan semua penyedia TVET dinilai berdasarkan satu standard yang sama, sekali gus memperkukuh kepercayaan terhadap sistem penarafan berkenaan.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan susulan pelancaran MTR pada Majlis Anugerah Institusi TVET 5 Bintang, Februari lalu, selain meletakkannya sebagai penanda aras prestasi nasional TVET.

MTR yang merupakan kesinambungan JPK Star Rating dan Single Rating of TVET Programmes, menetapkan lima tahap penarafan daripada satu hingga lima bintang, masing-masing berdasarkan tahap daya maju dan daya saing program. -KOSMO! ONLINE

The post MTR wajar jadi penanda aras nasional kualiti TVET appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved