
PUTRAJAYA: Seramai 189,817 pekerja tetap rakyat Malaysia di bawah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kini menikmati pendapatan sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan, sekali gus mencapai penanda aras gaji kehidupan wajar.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu diperoleh susulan komitmen secara bersama oleh kesemua enam GLIC pada Mei tahun lalu bagi memperluaskan pelaksanaan gaji kehidupan wajar.
Beliau berkata, sehingga Disember 2025, sebanyak 91.7 peratus daripada keseluruhan 206,987 pekerja tetap rakyat Malaysia di seluruh GLIC dan 37 GLC di bawah mereka menerima pendapatan pada kadar tersebut.
“Kejayaan program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) tidak hanya diukur berdasarkan jumlah pelaburan atau pulangan kewangan semata-mata.
“Ukuran sebenar kejayaan adalah melalui peningkatan pendapatan rakyat, peluang pekerjaan yang lebih baik serta pembangunan perniagaan yang mampan.
“GEAR-uP berfungsi untuk menukarkan modal kepada keupayaan. Ini bermakna membina perniagaan, mewujudkan pekerjaan yang baik dan membayar gaji yang adil kepada rakyat Malaysia,” katanya pada sidang akhbar Taklimat Kemajuan GEAR-up 2026 di sini hari ini.
Katanya, kerajaan turut mengambil kira pertumbuhan ekonomi yang mampu dirasai secara langsung oleh rakyat dan tidak mengukur kejayaan melalui ringgit semata-mata.
Amir Hamzah berkata, pertumbuhan ekonomi turut diukur menerusi peningkatan gaji, graduan yang memulakan pekerjaan yang baik, perniagaan yang berkembang serta rantaian bekalan yang kukuh bertapak di Malaysia.
Laporan kemajuan itu turut menunjukkan bahawa GLIC dan GLC melabur sebanyak RM641 juta dalam program komuniti sepanjang 2025, meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Selain itu, tajaan biasiswa yang disediakan membantu purata 7,526 pelajar setahun bagi tempoh 2020 hingga 2025.
Daripada jumlah tersebut, 88 peratus merupakan pelajar daripada isi rumah B40 dan M40.
Program GEAR-uP merupakan inisiatif kerajaan untuk memperkukuh prestasi GLIC dan GLC agar memberikan pulangan lebih besar kepada ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat. – UTUSAN
The post Hampir 190,000 pekerja GLIC, GLC nikmati gaji kehidupan wajar minimum RM3,100 sebulan appeared first on Utusan Malaysia.






