
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan mengadakan piket di seluruh pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mendesak agensi itu mengadakan perbincangan berhubung pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Bekerja Sendiri (SKBBK), termasuk kadar caruman pekerja dan majikan.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, Majlis Am MTUC sebelum ini telah membuat keputusan agar perbincangan dan sesi libat urus berhubung SKBBK diadakan segera, namun gagal mendapat perhatian sewajarnya.
Malah katanya, beberapa surat juga telah dihantar kepada Kementerian Sumber Manusia bagi membincangkan pelaksanaan skim berkenaan.
“MTUC mengecam tindakan Perkeso mengenakan caruman tambahan sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja.
“Ini bermakna pekerja yang menerima gaji minimum RM1,700 perlu membayar tambahan RM12.75. Penambahan caruman ini adalah satu bentuk penindasan kepada pekerja yang di paksa rela ke atas pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Kamarul Baharin berkata, MTUC berharap Perkeso menangguhkan kutipan caruman tambahan sehingga perbincangan dan sesi libat urus bersama pertubuhan pekerja diadakan.
“Memberikan tempoh akhir untuk pilihan SKBBK yang berakhir pada 31 Ogos 2026 adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kerana skim ini membabitkan keselamatan sosial pekerja.
“Tindakan kerajaan yang sebelum ini mewajibkan skim ini sebelum membuat pusingan U dengan menukarkannya kepada secara sukarela menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan pelaksanaan skim ini,” katanya.-UTUSAN
The post MTUC anjur piket di seluruh pejabat Perkeso appeared first on Utusan Malaysia.






