
CYBERJAYA – Seorang mualaf, Jeremy Mah Ci Wei Abdullah, 26, ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta berhampiran tempat kerjanya pada 19 Julai lalu.
Kisah arwah mula tular selepas dikongsi tunangnya, Qistina Liew, yang menceritakan detik cemas ketika mengesan lokasi terakhir lelaki itu menggunakan aplikasi Find My iPhone.
Jejaki Lokasi Tunang
“Saya tunggu dia datang rumah selepas syif kerjanya berakhir 9 pagi. Tapi dia tak respon.
“Saya periksa WhatsApp Web, nampak bos dia tanya sekiranya dia datang kerja atau tak pada pukul 5 pagi.
“Saya panik dan terus jejaki menggunakan fungsi Find My melalui iPhone. Saya jumpa dia tak sedarkan diri dalam kereta dekat tempat kerjanya,” katanya.
Keadaan Arwah Mengejutkan
“Namun, cara saya jumpa dia agak aneh. Dia terbaring di kerusi penumpang. Tingkap sedikit terbuka. Enjin hidup dan aircond dipasang.
“Saya cuba kejut lagi (masa jumpa arwah). Pengsan ke? Kemudian saya pegang tangan dia. Saya perasan kuku dia dah berwarna biru dan coklat.
“Masa tu saya dah blur, saya cuba angkat, sejuk dan keras. Saya cuba angkat tapi tak boleh. Muka dia pucat,” imbasnya.
Hospital menganggarkan arwah sudah meninggal tujuh hingga lapan jam sebelum ditemui dan pihak polis masih menjalankan siasatan.
Allahyarham yang memeluk Islam pada 10 Julai lalu difahamkan sedang dalam perancangan untuk berkahwin dengan Qistina, namun hasrat itu tidak kesampaian.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur pada 20 Julai lalu. – The Malaysian Update
The post Mualaf Meninggal Dunia Selepas 9 Hari Peluk Islam appeared first on The Malaysian Update.


