MUDA dakwa PH, BN salah guna jentera kerajaan ketika kempen

LocalPolitics
3 Jul 2026 • 7:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MUDA dakwa PH, BN salah guna jentera kerajaan ketika kempen
Amira Aisya menegaskan rakyat berhak memilih parti politik yang menghormati undang-undang dan memastikan proses pilihan raya berlangsung secara adil.

JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendakwa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dicemari dengan amalan politik kotor dan penyalahgunaan kuasa apabila terdapat pemimpin kerajaan menggunakan jawatan serta jentera agensi kerajaan untuk tujuan berkempen.

Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, tindakan melibatkan beberapa menteri dan pemimpin kerajaan itu didakwa berlaku sepanjang tempoh kempen bagi meraih sokongan pengundi termasuk penjawat awam, golongan muda serta penerima pelbagai inisiatif kerajaan.

Menurutnya, antara contoh yang dibangkitkan ialah pengumuman peruntukan RM216.44 juta bagi projek baik pulih di Johor oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ketika tempoh kempen berlangsung.

Beliau turut mendakwa Ahli Parlimen Hulu Langat yang juga Timbalan Pengerusi Tekun Nasional, Sany Hamzan menggunakan program serta jentera Tekun Nasional ketika mengadakan lawatan di kawasan DUN Maharani.

Selain itu, Amira Aisya berkata, Pengerusi Mara yang juga Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki didakwa menghadiri program TVET Mara bersama calon BN di DUN Tiram.

Katanya, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) turut membangkitkan isu penggunaan aset kerajaan dalam kempen PRN Johor termasuk siaran ceramah umum PH di RTM serta pengagihan Bakul Kasih Johor di seluruh negeri.

Menurut beliau, Bersih juga mempersoalkan pengagihan 3,000 Kad Komuter Madani Shuttle Selatan bernilai RM50 kepada rakyat Johor selain program penukaran minyak enjin motosikal percuma anjuran Kementerian Belia dan Sukan.

"Saya fikir MUDA tidak perlu mengingatkan kerajaan bahawa semua aktiviti dan majlis yang dianjurkan itu menggunakan sumber kerajaan hasil cukai rakyat Malaysia.

"Agenda membersihkan pilihan raya daripada politik kotor dan salah guna kuasa tidak seharusnya menjadi slogan ketika menjadi pembangkang sahaja, sebaliknya mesti diteruskan apabila diberi mandat mentadbir," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menegaskan rakyat berhak memilih parti politik yang menghormati undang-undang dan memastikan proses pilihan raya berlangsung secara adil.

Katanya, MUDA akan terus mengangkat tuntutan rakyat untuk melihat politik Malaysia bebas daripada salah laku dan penyalahgunaan kuasa sepanjang berlangsungnya PRN Johor.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengingatkan bahawa sebarang pengumuman projek atau dasar baharu selepas hari penamaan calon tidak dibenarkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Anwar turut menjelaskan larangan itu meliputi penggunaan jentera kerajaan di peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan berkempen.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved