Mansuh ADUN lantikan antara manifesto ditawarkan Muda

LocalPolitics
28 Jun 2026 • 5:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mansuh ADUN lantikan antara manifesto ditawarkan Muda
Amira Aisya

SHAH ALAM - Memansuhkan pindaan Perlembagaan untuk melantik lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) merupakan antara manifesto ditawarkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sekiranya dipilih menganggotai Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Presidennya, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, pemilihan ADUN tanpa proses pilihan raya itu jelas satu bentuk penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan yang memerintah.

Menurutnya, parti yang dipimpin beliau akan berjuang untuk memansuhkan undang-undang yang disifatkan tidak masuk akal itu.

"ADUN lantikan ini ialah enakmen yang paling merendahkan-rendahkan hak rakyat. Sebab dalam kerajaan waktu itu ada 40 (ADUN), dia lulus macam itu sahaja, tidak bagi ruang yang tuntas dan cukup untuk pembangkang berbahas.

"ADUN lantikan ini adalah satu bentuk salah guna kuasa dalam DUN sebab dia (kerajaan) boleh dapat lima undi percuma. Jadi kita akan tolak ADUN lantikan ini sekiranya Muda diberi peluang dan ruang untuk masuk ke dalam DUN sekali lagi," katanya kepada pemberita di bilik operasi parti itu di Puteri Wangsa di sini, pada Ahad.

Mei lalu, DUN Johor meluluskan usul Rang Undang-undang (RUU) Tubuh Kerajaan Johor 1985 Bahagian Kedua Fasal 15 berhubung ADUN lantikan.

Usul itu diluluskan selepas mendapat sokongan dan persetujuan majoriti 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 56 ADUN di Johor.

Mengulas lanjut, Amira Aisya berkata, partinya mahu menghalang calon yang tewas atau diketepikan daripada menuntut pelantikan sagu hati sebagai ADUN lantikan selepas pilihan raya.

"Muda mahu masuk DUN dan berjuang mansuhkan undang-undang ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa kerajaan sebelum ini gagal melaksanakan tiga reformasi utama yang pernah dijanjikan, iaitu pemberian peruntukan secara saksama kepada semua ADUN, memperkasakan jawatankuasa DUN serta menggubal undang-undang anti-lompat parti di peringkat negeri.

"Dulu mereka bercakap mengenai reformasi, tetapi apabila cadangan ini dibahaskan di DUN, semuanya ditolak. Sebab itu manifesto mereka kali ini sudah tidak lagi menyentuh soal reformasi.

"Muda tidak takut kepada perubahan dan akan terus membawa agenda reformasi sekiranya diberi peluang oleh rakyat," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved