
MUDA Sah Tanding Empat Kerusi DUN Pada PRN Johor
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengesahkan akan meletakkan calon di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai depan.
Perkara itu diumumkan Presidennya, Amira Aisya Abdul Aziz menerusi hantaran di Facebook semalam.
Menurut beliau, empat kerusi yang bakal ditandingi MUDA ialah DUN Puteri Wangsa, Bukit Batu, Maharani dan Simpang Jeram.
Bagi kerusi DUN Bukit Batu, MUDA mempertaruhkan Premanand, 53, manakala kerusi Maharani akan ditandingi pegawai kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, iaitu Amir Jack.
Sementara itu, Setiausaha Agung MUDA, Ainie Haziqah Shafii akan bertanding di kerusi DUN Simpang Jeram.
Semalam, MUDA turut mengumumkan Ketua Pegawai Pusat Khidmat DUN Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied, 26, sebagai calon bagi kerusi berkenaan.
Pada PRN Johor 2022, MUDA bertanding di tujuh kerusi DUN iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, Bukit Permai dan Larkin.
Daripada tujuh kerusi yang ditandingi, MUDA hanya berjaya memenangi satu kerusi iaitu DUN Puteri Wangsa menerusi Amira.






